SEMATAN: Penganjuran aktiviti sukan di peringkat sekolah merupakan antara platform penting dalam mencungkil bakat serta membentuk generasi muda yang berdisiplin, berdaya saing dan berpotensi untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang kesukanan.
Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching, Azizul Annuar Adenan berkata, platform seumpama itu mampu melahirkan lebih ramai atlet pelapis yang berpotensi untuk mewakili sekolah, daerah mahupun negeri pada masa hadapan.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Sukan Tahunan dan Jualan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pueh Tahun 2026 pada Khamis.
Dalam pada itu, Azizul turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada pihak PIBG serta barisan tenaga pengajar SK Pueh atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan kelancaran penganjuran temasya sukan berkenaan.
Beliau turut menzahirkan rasa gembira melihat semangat kesukanan serta kreativiti yang ditampilkan oleh murid-murid menerusi persembahan setiap rumah sukan.
Sejurus selesai majlis berkenaan, Azizul meneruskan agenda turun padang dengan menyantuni masyarakat setempat menerusi Program Randau Kasih Wanita PBB N3 Tanjong Datu yang berlangsung di Rumah Panjang Pueh.
Program anjuran Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N3 Tanjong Datu itu menghimpunkan penduduk dari Kampung Pueh, Kampung Pueh Kenek, Kampung Siru Dayak serta beberapa kampung di sekitar Sematan.
Selain menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat, program tersebut turut diisi dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk demonstrasi penyediaan nasi beriani serta sesi perkongsian maklumat mengenai inisiatif dan bantuan kerajaan.
Sesi penerangan berkenaan telah disampaikan oleh Pegawai Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Daerah Lundu Jamsari Ahmad bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai bantuan kerajaan yang boleh dimanfaatkan oleh golongan yang layak.-EDISI UKAS