Semak dan Imbang Bukan Mekanisme Mengehadkan Kemenangan Parti Dalam Pilihan Raya
KUCHING: Prinsip semak dan imbang dalam sistem demokrasi tidak boleh dijadikan alasan untuk mengehadkan kemenangan sesebuah parti politik dalam pilihan raya kerana mandat menentukan wakil rakyat dan kerajaan terletak sepenuhnya di tangan pengundi.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, konsep semak dan imbang perlu dibezakan daripada semak partisan kerana kedua-duanya mempunyai fungsi dan peranan yang berbeza dalam sistem pemerintahan negara.
Jelas beliau, semak partisan (partisan check) merujuk kepada peranan pengawasan oleh pihak pembangkang terhadap kerajaan, sama ada di dalam mahupun di luar Dewan Undangan Negeri.
Sebaliknya, prinsip semak dan imbang (checks and balances) merupakan mekanisme perlembagaan yang berteraskan pengasingan kuasa antara tiga cabang utama pemerintahan, iaitu badan perundangan, eksekutif dan kehakiman bagi mengelakkan pemusatan kuasa.
“Semak partisan tidak mempunyai kaitan dengan doktrin semak dan imbang yang mempertahankan prinsip pengasingan kuasa antara badan eksekutif, perundangan dan kehakiman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia menjelaskan bahawa pembahagian kuasa antara ketiga-tiga cabang pemerintahan diperuntukkan menerusi Perkara 39, 44 dan 121 Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, sistem pemerintahan berteraskan model Westminster turut membolehkan fungsi pengawasan dilaksanakan melalui penelitian dan pertanyaan ahli badan perundangan terhadap pihak eksekutif, meskipun terdapat pertindihan keanggotaan antara kedua-dua cabang berkenaan.
Dalam konteks pilihan raya, beliau menegaskan bahawa prinsip semak dan imbang tidak bermaksud kemenangan sesebuah parti perlu dihadkan bagi memastikan kerusi turut dimenangi parti lain.
Sebaliknya, keputusan pilihan raya ditentukan berdasarkan pilihan pengundi yang layak tanpa sebarang ketetapan mengenai pembahagian kerusi antara parti politik.
“Tiada konsep semak dan imbang di peti undi. Pilihan raya parti merupakan permainan sifar jumlah (zero-sum game), apabila pihak yang menang memperoleh kemenangan berdasarkan keputusan pengundi yang layak,” katanya.
Beliau turut merujuk keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah sebelum ini sebagai contoh bahawa pengundi mempunyai kuasa menentukan parti dan calon yang diberikan mandat untuk mewakili mereka.
Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa pengundi perlu menilai pilihan masing-masing berdasarkan manfaat, pencapaian serta hasil pembangunan yang mampu disampaikan kepada rakyat melalui dasar, peruntukan dan belanjawan kerajaan.
Menurut beliau, pertimbangan terhadap manfaat pembangunan wajar diberikan perhatian berbanding semata-mata menekankan keperluan semak partisan yang disifatkannya tidak semestinya membawa manfaat pembangunan secara langsung kepada rakyat.-EDISI UKAS