Masa Depan Sarawak Cerah, Keyakinan Pelabur Global Terus Meningkat
SIBU: Masa depan Sarawak dilihat semakin cerah apabila kestabilan politik, kekuatan ekonomi serta dasar pembangunan modal insan yang progresif terus meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa untuk menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelaburan strategik.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkembangan positif itu turut didorong keupayaan Sarawak meningkatkan hasil negeri daripada sekitar RM6 bilion sebelum ini kepada unjuran RM15 bilion pada tahun hadapan.
Menurut beliau, kedudukan kewangan yang semakin kukuh membolehkan Kerajaan Sarawak merancang pembangunan secara lebih sistematik, selain menyediakan asas ekonomi yang mampan untuk generasi akan datang.
“Jadi, masa depan Sarawak sememangnya cerah. Saya berharap dengan kestabilan yang kita nikmati ketika ini, kita dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Sarawak.
“Ramai anak Sarawak kini kembali untuk menabur bakti di negeri sendiri. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk terus melangkah maju dan menjadikan Sarawak sebagai sebuah ikon ekonomi di Malaysia. Kini, kita mahu meletakkan Sarawak sebagai hab ekonomi serantau di Asia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pembangunan Terminal Bas Sibu Sentral di antara Majlis Perbandaran Sibu dan Sibu Sentral Sdn Bhd pada Jumaat.
Premier Sarawak menambah, keyakinan terhadap potensi ekonomi negeri turut diterjemahkan melalui komitmen pelaburan syarikat teknologi global, SoftBank dari Jepun, bernilai AS$1 bilion.
Menurut beliau, kejayaan menarik pelaburan berkenaan membuktikan Sarawak kini mempunyai daya saing tersendiri dalam menarik perhatian pelabur antarabangsa yang turut menilai kestabilan dasar, kemudahan infrastruktur serta ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Bukan mudah untuk menarik pelaburan SoftBank. Seperti yang kita tahu, banyak negara bersaing untuk mendapatkan pelaburan daripada syarikat itu, tetapi mereka sendiri yang datang ke Sarawak.
“Baru-baru ini, SoftBank telah membawa masuk pelaburan modal sebenar berjumlah AS$1 bilion, dengan perjanjian pelaburan tersebut dimeterai dua malam lalu.
“Saya pergi ke Jepun dan membawa pulang pelaburan bernilai AS$1 bilion dari Tokyo. Ini membuktikan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, cadangan penubuhan Zon Ekonomi Sibu telah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan dan mendapat persetujuan secara prinsip daripada Perdana Menteri.
Bagaimanapun, katanya, insentif khusus termasuk struktur percukaian yang kompetitif perlu diberikan bagi memastikan zon ekonomi berkenaan mampu menarik pelaburan baharu, sebagaimana pendekatan yang dilaksanakan bagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.
“Saya telah mengemukakan cadangan penubuhan Zon Ekonomi Sibu kepada Kementerian Kewangan di Kuala Lumpur dan secara prinsipnya, Perdana Menteri telah bersetuju dengan cadangan tersebut.
“Bagaimanapun, apa yang saya mahukan ialah pemberian insentif khusus. Zon ekonomi ini perlu mempunyai insentif tertentu, sama seperti yang diberikan kepada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, termasuk struktur insentif percukaian khas untuk Johor.
“Jadi, kita telah menyuarakan kepada Kerajaan Persekutuan bahawa jika insentif sedemikian boleh diberikan kepada Johor, mengapa perkara yang sama tidak boleh diberikan kepada Sibu. Secara prinsipnya, mereka telah bersetuju dengan cadangan tersebut," jelansya lagi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kelebihan Sarawak bukan hanya terletak pada sumber tenaga dan bekalan air, sebaliknya turut diperkukuh melalui dasar pendidikan percuma yang bertujuan melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan memenuhi keperluan industri masa depan.
Katanya, pendekatan tersebut merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan bagi memastikan rakyat Sarawak bukan sekadar menjadi pemerhati kepada pertumbuhan ekonomi, malah menikmati manfaat secara langsung melalui peluang pekerjaan bernilai tinggi.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Micheal Tiang Ming Tee, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Datu Wong Hee Sieng, Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Clarence Ting, Setiausaha Majlis Perbandaran Sibu, Henry Jalin Watt, Pengarah Sibu Sentral Sdn Bhd merangkap Pengerusi Lembaga Amanah Khairat Masjid Al Muhajirin Jamil Julaihi dan Pengarah Sibu Sentral Sdn Bhd, Mohamad Nazim Masni. -EDISI UKAS