Projek Pembinaan Semula SK Datuk Bandar RM17.9 Juta Berjalan Mengikut Jadual
DEBAK: Projek pembinaan semula bangunan daif Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Bandar bernilai RM17.9 juta berjalan lancar mengikut jadual dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2028.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, projek berkenaan melibatkan pembinaan beberapa bangunan baharu merangkumi bilik darjah dan ruang pentadbiran bagi menyediakan kemudahan lebih selesa kepada warga sekolah.
“Setakat ini, tiada sebarang laporan kelewatan atau masalah yang diterima berhubung pelaksanaan projek berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) 2026 di Dataran Perpaduan Debak, pada Khamis.
Menurutnya, projek yang dimulakan selepas majlis pecah tanah pada Mac lalu itu kini berada dalam fasa kerja penanaman cerucuk serta meratakan tanah dengan tempoh pelaksanaan keseluruhan selama 24 bulan.
Menurutnya, SK Datuk Bandar merupakan antara sekolah utama di kawasan berkenaan dengan jumlah enrolmen sekitar 500 hingga 600 murid.
Justeru, pembinaan semula sekolah itu dijangka memberikan persekitaran pembelajaran lebih kondusif, selain meningkatkan keselesaan murid dan menyokong kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran.
Beliau berharap projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan bagi memastikan warga sekolah menikmati kemudahan pendidikan yang lebih selesa dan selamat.
Hadir sama Guru Besar SK Datuk Bandar, Lola Julai, Pegawai Agama Islam Bahagian Betong, Al-Fadhil Ustaz Anuar Rosli dan Ketua Bahagian Tabung Baitulmal Sarawak Bahagian Betong, Al-Fadhil Ustaz Zulhazmi Bohari.-EDISI UKAS