PPWS Cawangan Muhibah Terima Sumbangan RM8,000 Sokong Pembangunan Wanita
SARIKEI: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Muhibah menerima sumbangan RM8,000 daripada Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii bagi menyokong pelaksanaan program pembangunan wanita dan komuniti setempat.
Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, usaha memperkasakan wanita perlu terus diberi perhatian kerana golongan itu memainkan peranan penting dalam membentuk keluarga sejahtera serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi, pendidikan dan kebajikan masyarakat.
“Apabila wanita diperkasakan, keluarga menjadi lebih kukuh, dan apabila keluarga kukuh, masyarakat akan menjadi lebih sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pada Majlis Fund Raising Dinner 2026 anjuran PPWS Cawangan Muhibah di Sarikei, pada Sabtu.
Menurutnya, pembangunan masyarakat bukan sahaja bergantung kepada kemajuan fizikal, malah turut memerlukan peluang, sokongan dan ruang kepada wanita untuk mengembangkan potensi, memimpin serta menyumbang kepada komuniti.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada PPWS Cawangan Muhibah atas usaha menyatukan golongan wanita di Sarikei menerusi pelbagai aktiviti yang memberi peluang kepada mereka berkongsi pengalaman, mengeratkan hubungan serta menyumbang kepada kebajikan masyarakat.-EDISI UKAS