105 Murid KAFA SK Datuk Bandar Debak Terima Anugerah Kecemerlangan
DEBAK: Seramai 105 murid Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Bandar Debak menerima pengiktirafan atas pencapaian mereka dalam bidang pendidikan agama menerusi Majlis Anugerah Kecemerlangan KAFA 2026.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, kecemerlangan dalam pendidikan agama dan akademik penting dalam membentuk generasi yang berilmu, berakhlak mulia serta berdisiplin.
Menurutnya, penganjuran majlis berkenaan bukan sekadar menghargai usaha dan pencapaian murid, malah menjadi dorongan kepada mereka untuk terus meningkatkan ilmu pengetahuan serta mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan KAFA SK Datuk Bandar Debak bagi tahun 2026 di Dataran Perpaduan Debak, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata, kejayaan murid merupakan hasil usaha berterusan mereka, selain sokongan guru yang berdedikasi serta dorongan dan kasih sayang ibu bapa.
Justeru, beliau berharap pengiktirafan tersebut menjadi pemangkin kepada murid untuk terus mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, di samping membentuk keperibadian yang baik dan taat kepada Allah SWT.
Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan bukan hanya diukur berdasarkan pencapaian dalam peperiksaan, tetapi juga melalui akhlak, keikhlasan hati dan komitmen dalam menuntut ilmu.
Tegas beliau, ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang diamalkan serta diterapkan dalam kehidupan seharian.
Dalam pada itu, beliau merakamkan tahniah kepada semua penerima anugerah dan penghargaan kepada pihak sekolah, guru serta ibu bapa atas peranan mereka dalam menyokong perkembangan pendidikan dan sahsiah murid.-EDISI UKAS