Pembangunan Terminal Bas Berpusat Pacu Transformasi Sibu Sebagai Bandar Moden
SIBU: Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pembangunan terminal bas berpusat dan kompleks pengangkutan awam menjadi satu lagi langkah penting dalam usaha mentransformasikan Sibu sebagai bandar moden, pintar dan mampan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan kemudahan berkenaan bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam, malah menyediakan persekitaran yang lebih selamat dan selesa kepada pengguna.
Menurut beliau, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen pihak terlibat dalam memperkukuh infrastruktur bandar seiring dengan perancangan pembangunan jangka panjang Sibu.
“Kita akan membina sebuah stesen bas dan juga kompleks yang akan menyediakan keselamatan kepada mereka yang menggunakan bas, selain meningkatkan kemudahan dalam sektor perhubungan dan pengangkutan kita.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua pihak atas sokongan yang diberikan dan ingin mengucapkan tahniah kerana berjaya bekerjasama untuk membangunkan kompleks ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis pemeteraian MoU pembangunan Pembangunan Terminal Bas Sibu Sentral di antara Majlis Perbandaran Sibu dan Sibu Sentral Sdn Bhd pada Jumaat.
Premier Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Sibu (MPS) atas usaha merancang pembangunan semula bandar itu ke arah sebuah bandar pintar yang lebih berdaya saing.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pembangunan bandar pintar tidak boleh hanya tertumpu kepada penyediaan infrastruktur moden, sebaliknya perlu mengambil kira kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan penduduk.
“Bandar pintar bukan sesuatu yang mudah kerana kita mesti mengambil kira aspek kemampanan serta menggabungkan perancangan pembangunan dengan alam semula jadi.
“Alam semula jadi mesti menjadi sebahagian daripada perancangan kita. Oleh itu, memandangkan Sibu kini semakin sesak, kita perlu merancang semula pembangunan bandar ini,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata pembangunan semula kawasan Bukit Assek merupakan antara keutamaan bagi menangani isu pengurusan air, pencemaran dan kesihatan awam, sekali gus mewujudkan persekitaran bandar yang lebih kondusif.
Katanya, pelaksanaan pembangunan berkenaan memerlukan peruntukan besar bagi memastikan sistem pengurusan air dan penyediaan perkhidmatan perbandaran dapat dipertingkatkan secara menyeluruh.
Dalam pada itu, Premier Sarawak berkata Sibu juga perlu diperluas melalui pembangunan kawasan perbandaran baharu bagi menampung pertambahan penduduk serta merancakkan aktiviti ekonomi.
Beliau melihat kawasan di luar Kemuyang sebagai antara lokasi berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan perbandaran baharu yang mampu melengkapi pembangunan Sibu Jaya.
“Kita perlu merancang semula, membangunkan semula dan mengenal pasti kawasan yang sesuai. Saya merasakan kawasan di luar Kemuyang merupakan satu lagi lokasi yang berpotensi untuk menyokong pertambahan penduduk dengan perancangan perbandaran yang baik.
“Kita sudah membina jalan dari Kemuyang sehingga ke belakang Universiti Teknologi Sibu. Jalan itu sudah ada. Apa yang perlu kita lakukan ialah merancang jalan yang lebih besar dan baharu, kemudian pembangunan akan menyusul di kawasan tersebut,” katanya.-EDISI UKAS