Kerjasama JKKK Dan NGO Penting Pacu Pembangunan Matu
MATU: Penglibatan aktif Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat setempat penting dalam memastikan agenda pembangunan Sarawak dapat dilaksanakan mengikut keperluan penduduk, khususnya di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato Murshid DiRaja Datuk Dr Juanda Jaya berkata, kejayaan pembangunan negeri bukan hanya bergantung kepada perancangan kerajaan, malah memerlukan kerjasama dan komitmen masyarakat sebagai rakan pembangunan.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Ramah Mesra JKKK/NGO Daerah Matu yang melibatkan penduduk dari Kampung Pergau, Kampung Kuala Matu Hilir, Kampung Kuala Matu Hulu, Kampung Sok, Kampung Halud, Kampung Berjaya dan Kampung Sekaan Kecil, pada Khamis.
Menurutnya, perpaduan serta semangat saling bekerjasama perlu terus dipelihara bagi memastikan kestabilan dan kemajuan kawasan setempat.
Dalam pada itu, beliau berkata, Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) merupakan agenda bersama yang bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat, termasuk penduduk di kawasan luar bandar.
Sehubungan itu tegasnya, pemimpin JKKK dan NGO digalakkan memainkan peranan lebih aktif dalam menyampaikan keperluan serta aspirasi penduduk kepada kerajaan, selain menyokong pelaksanaan inisiatif pembangunan di kawasan masing-masing.
Menurutnya, kerjasama erat antara kerajaan, agensi berkaitan dan masyarakat setempat amat diperlukan bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan serta penyediaan kemudahan asas berjalan lancar dan memberi manfaat kepada penduduk.
Beliau turut menyeru masyarakat agar terus mengekalkan hubungan baik antara komuniti serta menyokong kepimpinan Sarawak di bawah Premier Sarawak demi memelihara perpaduan dan keharmonian negeri.
Program berkenaan turut menjadi ruang kepada pemimpin masyarakat dan penduduk untuk bertukar pandangan serta menyampaikan aspirasi dan keperluan pembangunan kawasan masing-masing secara langsung.-EDISI UKAS