Jentera Kerajaan Sarawak Terus Beroperasi Seperti Biasa Sepanjang PRN
SERIAN: Jentera pentadbiran Kerajaan Sarawak akan terus menjalankan tugas dan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat seperti biasa sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) tanpa mengaitkan operasi kerajaan dengan kepentingan mana-mana pihak politik.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, program turun padang, pertemuan dengan masyarakat dan penyampaian perkhidmatan oleh agensi kerajaan bukan perkara baharu yang hanya dilaksanakan menjelang pilihan raya.
Sebaliknya, katanya, semua aktiviti berkenaan merupakan sebahagian daripada rutin pentadbiran yang telah berjalan sebelum tempoh kempen, malah sebelum penamaan calon.
“Apa yang kita lakukan, jentera kerajaan beroperasi seperti biasa di mana kita turun padang, kita memberi perkhidmatan kita kepada rakyat dan kita tidak boleh mengaitkannya sebagai satu kempen ataupun satu persepsi yang berbeza.
“Kita sudah lakukan perkhidmatan kita, turun padang, jumpa dengan rakyat dan adakan program-program dengan rakyat,” ujarnya ketika ditemui selepas melancarkan Program Sarawakku Sayang (SKS) Serian, di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan berhubung kemungkinan penggunaan agensi kerajaan bagi kepentingan parti tertentu menjelang PRN akan datang.
Menurut Datuk Amar Mohamad Abu Bakar, aktiviti mendekati masyarakat dan penyampaian perkhidmatan kerajaan perlu dilihat dalam konteks tanggungjawab pentadbiran yang berterusan, bukannya sebagai usaha mempengaruhi sokongan politik.
Beliau turut menegaskan bahawa operasi jentera kerajaan tidak berubah semata-mata kerana pilihan raya semakin hampir.
“Tidak ada, kerana itu adalah rutin kita dan beroperasi seperti biasa seperti mana yang kita lakukan sebelum penamaan calon dan sebelum pilihan raya,” katanya lagi. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi, Ibanez Jeffery Guang, George Embie & Fadhillah Mohd Amin