RM2.1 Juta Naik Taraf Panchor Hot Spring, Pacu Potensi Pelancongan Tarat
SERIAN: Panchor Hot Spring di Kampung Panchor Dayak bakal dinaik taraf menerusi projek pembangunan bernilai RM2.1 juta bagi meningkatkan kemudahan pelancongan serta merancakkan aktiviti ekonomi komuniti setempat.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata projek di bawah inisiatif Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) itu melibatkan pembinaan beberapa kemudahan baharu termasuk tempat letak kereta, pintu masuk utama dan sebagainya.
“Pembangunan itu bertujuan menyediakan kemudahan lebih selesa kepada pengunjung, meningkatkan daya tarikan Panchor Hot Spring sebagai destinasi pelancongan berpotensi di kawasan Tarat,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Prasarana Pelancongan Panchor Hot Spring di sini pada Jumaat.
Selain memperkukuh sektor pelancongan, projek berkenaan dijangka membuka peluang kepada penduduk setempat untuk menjana pendapatan menerusi aktiviti perniagaan, penyediaan perkhidmatan dan perusahaan kecil berkaitan pelancongan.
Projek itu mempunyai tempoh kontrak selama 12 bulan bermula November 2026, dengan tarikh siap semakan ditetapkan pada 30 Ogos 2027.-EDISI UKAS