Sarawak Pergiat Usaha Dapatkan Semula Artifak Warisan Dari Luar Negara
KUCHING: Sarawak terus mempergiat usaha mendapatkan semula artifak warisan negeri yang berada di luar negara, sama ada dalam koleksi institusi muzium mahupun simpanan persendirian, bagi memastikan khazanah sejarah itu dapat dipelihara dan dikembalikan kepada negeri.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, usaha berkenaan memerlukan pendekatan berterusan melalui rundingan, kerjasama serta persetujuan pihak yang memiliki atau menyimpan artifak tersebut.
“Bagi kami, ini merupakan khazanah negeri dan kita akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan semula artifak-artifak tersebut bagi dipamerkan di muzium kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Sarawak Museum Conference di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, pengembalian artifak boleh dilaksanakan melalui pelbagai kaedah, termasuk sumbangan, pembelian atau persetujuan perkongsian koleksi, bergantung kepada keadaan dan pemilikan masing-masing.
Beliau berkata, artifak berkenaan bukan sekadar barangan lama, sebaliknya mempunyai nilai sejarah dan warisan yang penting kepada Sarawak.
Dato Sri Abdul Karim turut berkongsi kejayaan usaha membawa pulang beberapa koleksi warisan, termasuk kira-kira 400 pucuk meriam kecil yang sebelum ini berada dalam simpanan persendirian serta beberapa ratus artifak dari Amsterdam yang diserahkan semula kepada Sarawak.
Katanya, jaringan kerjasama dengan institusi muzium di luar negara turut memainkan peranan penting dalam membantu mengenal pasti lokasi koleksi warisan Sarawak, selain membuka ruang kepada pertukaran maklumat dan kerjasama berkaitan pemuliharaan.
Dalam pada itu, Sarawak Museum Conference yang berlangsung pada 23 hingga 24 November 2026 di Auditorium Muzium Budaya Borneo menjadi platform menghimpunkan pakar, penggiat muzium serta peserta dari dalam dan luar negara bagi membincangkan aspek sejarah, penyelidikan, pemuliharaan dan pengurusan warisan muzium.
Persidangan berkenaan turut disertai peserta dari Australia, Singapura, Indonesia, Semenanjung Malaysia dan Sarawak, sekali gus membuka ruang perkongsian pengetahuan serta pengalaman dalam bidang permuziuman dan pemeliharaan khazanah sejarah.
Sebanyak 63 artifak turut dipamerkan sempena persidangan itu, melibatkan koleksi daripada sumbangan terdahulu dan terbaharu sebagai sebahagian usaha memperkenalkan kekayaan sejarah serta warisan negeri kepada masyarakat.-EDISI UKAS