Pemuliharaan Rumah Panjang Melanau Kampung Sok Perlu Diberi Keutamaan
KUCHING: Rumah Panjang Melanau Kampung Sok yang telah diwartakan sebagai bangunan warisan diharap dapat diberi keutamaan dalam usaha pemuliharaan dan pemulihan bagi memastikan khazanah bersejarah itu terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pewartaan bangunan berkenaan perlu disusuli langkah pemuliharaan yang bersesuaian bagi mengekalkan nilai sejarah serta warisan seni bina yang dimilikinya.
“Rumah Panjang Melanau di Kampung Sok memang sudah diwartakan sebagai bangunan warisan. Harapan saya ia dapat dibaik pulih supaya menjadi satu bangunan yang kita cukup bangga,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi sidang media Sarawak Museum Conference, di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, meskipun rumah panjang itu dibina menggunakan kayu belian yang terkenal dengan ketahanannya, kerja pembaikan tetap diperlukan bagi memastikan struktur bangunan berkenaan terus terpelihara.
Beliau berkata, usaha pemuliharaan bukan sahaja penting untuk mengekalkan keadaan fizikal bangunan, malah memastikan warisan tersebut dapat diwariskan kepada generasi seterusnya serta menjadi rujukan dan tarikan kepada orang ramai.
Dato Sri Abdul Karim turut memaklumkan, pihak muzium telah mengunjungi lokasi berkenaan kira-kira dua minggu sebelum itu bagi meninjau keadaan rumah panjang tersebut, dengan laporan susulan dijangka disediakan untuk perhatian pihak berkaitan.
Katanya, pemuliharaan bangunan warisan memerlukan penelitian dari segi kos dan kaedah pelaksanaan memandangkan kerja konservasi mempunyai cabaran tersendiri, termasuk kemungkinan kos yang lebih tinggi berbanding pembinaan baharu. -EDISI UKAS