Penerimaan Rakyat Terhadap Dasar Kerajaan Sarawak Semakin Positif
SERIAN: Program Sarawakku Sayang (SKS) mula memperlihatkan perkembangan positif dari segi penerimaan masyarakat apabila rakyat, khususnya golongan muda, semakin memahami dasar, insentif dan kemudahan yang disediakan Kerajaan Sarawak.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, pendekatan turun padang menerusi program itu membolehkan masyarakat bukan sahaja mengetahui kewujudan sesuatu dasar, malah memahami manfaat serta cara untuk mendapatkan kemudahan yang ditawarkan.
Menurutnya, perubahan itu dapat dilihat sejak program SKS diperkenalkan bermula di Limbang, dengan siri di Serian ini merupakan penganjuran kali ke-10.
“Apabila mereka sendiri datang untuk bertemu dengan pegawai-pegawai kita di kaunter, melalui temu duga dan sesi libat urus, mereka sudah mula faham apakah dasar-dasar dan program-program yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan untuk rakyat kita.
“Golongan muda khususnya sudah mula tahu bahawa kerajaan sekarang menawarkan pelbagai insentif dan pelbagai program untuk mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Prapelancaran SKS Serian, pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa penerimaan positif terhadap program kerajaan perlu disusuli tindakan menyelesaikan isu yang dihadapi rakyat, khususnya berkaitan kemudahan asas.
Katanya, beliau telah meminta ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan supaya turun padang bagi meneliti sendiri masalah masyarakat, termasuk gangguan bekalan air dan elektrik di kawasan tertentu.
“Rakyat nak merasa, bukan rakyat nak melihat saja dan proses itu hanya satu proses.
“Tetapi perkara paling penting dalam apa juga perkhidmatan yang kita berikan kepada rakyat ialah mereka dapat merasai apa yang kita rancang dan bina,” katanya lagi.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua, Residen Bahagian Serian Mackos Sibong serta Ketua-Ketua Jabatan. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi, Ibanez Jeffery Guang, George Embie & Fadhillah Mohd Amin