24 Penerima di Matu Terima Bantuan Menerusi Program Sentuhan Kasih
MATU: Seramai 20 penduduk yang memerlukan di daerah ini menerima bantuan bakul makanan, manakala empat individu turut menerima kerusi roda menerusi Program Sentuhan Kasih anjuran Pusat Khidmat PBB Jemoreng.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ketua Cawangan PBB Jemoreng, Dato Murshid DiRaja Datuk Dr Juanda Jaya berkata, pendekatan menerusi lawatan ke kediaman penerima membolehkan pihak Pusat Khidmat mendekati golongan berkenaan dan memahami keperluan mereka dengan lebih dekat.
Menurutnya, lawatan secara langsung bukan sahaja bertujuan menyampaikan bantuan, malah menjadi ruang untuk bertanya khabar serta memastikan kebajikan penerima terus diberi perhatian.
Inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada golongan memerlukan, khususnya pesakit terlantar dan individu yang berdepan masalah kesihatan, bagi membantu meringankan keperluan serta urusan harian mereka.
Penyaluran kerusi roda khususnya diharap dapat membantu penerima yang mempunyai keterbatasan pergerakan, manakala sumbangan bakul makanan dapat meringankan keperluan harian golongan yang disantuni.
Program Sentuhan Kasih merupakan antara usaha berterusan Pusat Khidmat PBB Jemoreng dalam menyantuni masyarakat, selain memupuk nilai keprihatinan dan semangat saling membantu dalam komuniti.-EDISI UKAS