Jeti Pelabuhan Pulau Sari Bakal Perkukuh Rantaian Bekalan Bahan Binaan Di Lawas
LAWAS: Pembangunan Jeti Pelabuhan Laut Dalam di Pulau Sari bakal menyediakan alternatif pengangkutan laut bagi memudahkan penghantaran bahan binaan ke Lawas, sekali gus membantu mengurangkan kos logistik pembangunan di daerah berkenaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kos pengangkutan merupakan antara faktor utama yang mempengaruhi kos pembinaan di Lawas berikutan kebergantungan kepada bekalan bahan binaan dari bahagian lain di Sarawak.
"Banyak bahan pembinaan perlu dibawa masuk dari tempat lain, termasuk Kuching dan kawasan lain di Sarawak.
"Kita berharap dengan adanya kemudahan jeti pelabuhan ini, urusan membawa masuk bahan binaan akan menjadi lebih mudah dan dapat membantu mengurangkan kos pengangkutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Semarak Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari di Stadium Tertutup Lawas, pada Khamis.
Tambahnya, bekalan bahan binaan tempatan masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan pembangunan, menyebabkan bahan tertentu seperti batu granit perlu diperoleh dari kawasan lain.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah memberitahu, pembangunan rangkaian jalan raya yang lebih baik turut diharap dapat membantu mengurangkan kos pengangkutan, meskipun faktor jarak dan logistik masih menjadi cabaran kepada pembangunan di daerah berkenaan.
Jelasnya, usaha memperkukuh kemudahan pengangkutan darat dan laut itu dijangka menyokong kelancaran pelaksanaan projek pembangunan serta meningkatkan kecekapan penghantaran bahan binaan ke Lawas. -EDISI UKAS