RM28 Juta Bangunkan Semula SK Kampung Buda, Lengkap Dengan Kuarters Guru
BETONG: Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Buda bakal dilengkapi kemudahan pendidikan lebih kondusif menerusi projek pembinaan baharu dan pembangunan tambahan bernilai RM28 juta.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, projek berkenaan akan merangkumi blok akademik, pentadbiran, kantin serta tujuh unit kuarters guru.
“Projek itu merupakan langkah penting dalam meningkatkan kualiti infrastruktur pendidikan, khususnya bagi menangani isu sekolah daif di kawasan Saribas.
“Pembangunan berkenaan bukan sekadar membabitkan pembinaan bangunan baharu, tetapi turut merangkumi penyediaan kemudahan sokongan bagi memastikan keperluan murid dan guru dapat dipenuhi dalam persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Baharu dan Pembangunan Tambahan SK Kampung Buda, di sini pada Jumaat.
Projek yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong itu dijadualkan siap dalam tempoh 24 bulan.
Menurut beliau lagi, penyediaan kemudahan seumpama itu turut mengambil kira kebajikan guru dengan memastikan mereka mempunyai persekitaran kerja dan tempat tinggal yang lebih selesa.
Turut hadir, Ahli Parlimen Betong merangkap Pengerusi Majlis Daerah Betong, Dato Dr Richard Rapu, Pegawai Pendidikan Daerah Betong, Anis Madeli, Jurutera JKR Bahagian Betong, Jason Ng Boon Tuan dan Guru Besar SK Kampung Buda, Daniel Ladin. -EDISI UKAS