MIRI: Prasarana di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau terus diperkasa menerusi pelaksanaan tiga projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) melibatkan peruntukan keseluruhan RM520,000 bagi meningkatkan kemudahan awam serta memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew turun padang mengadakan lawatan kerja ke beberapa lokasi projek RTP di kawasan Piasau pada Jumaat bagi meninjau kemajuan pelaksanaan serta memastikan projek berjalan mengikut spesifikasi dan jadual ditetapkan.
Antara projek yang ditinjau ialah kerja pemasangan baharu dan penambahbaikan pendawaian di Balai Polis Pusat Miri melibatkan peruntukan RM300,000 yang dilaksanakan oleh kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR).
Projek yang bermula pada 28 Februari 2026 itu dijangka siap sepenuhnya pada 29 November 2026, dengan tempoh pelaksanaan selama lapan bulan.
Lawatan diteruskan ke Sg Baong Islamic Burial bagi menyaksikan penyerahan projek RTP bernilai RM100,000 yang dijadualkan bermula dan siap pada 1 Mei 2027.
Projek berkenaan merangkumi pemasangan empat lampu solar setinggi lapan meter serta pembinaan semula pondok sedia ada yang telah usang bagi meningkatkan kemudahan di kawasan perkuburan berkenaan.
Beliau kemudiannya mengadakan lawatan ke Persatuan Melanau Miri bagi meninjau projek RTP 2026 bernilai RM120,000 yang melibatkan pembinaan dua gelanggang pickleball di kawasan bersebelahan bangunan persatuan itu.
Projek berkenaan dijangka mengambil tempoh enam bulan untuk disiapkan, sekali gus menyediakan kemudahan sukan dan rekreasi baharu kepada komuniti setempat. -EDISI UKAS