130 Bangunan Sekolah Daif Di Betong Perlukan Perhatian
BETONG: Kira-kira 130 bangunan sekolah dalam kategori daif skala enam dan tujuh di kawasan Parlimen Betong memerlukan perhatian serta tindakan pembaikan secara berperingkat.
Ahli Parlimen Betong merangkap Pengerusi Majlis Daerah Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, keperluan menaik taraf infrastruktur sekolah masih menjadi cabaran, khususnya membabitkan keadaan bangunan, bilik darjah, asrama dan kuarters guru.
“Pembangunan baharu seperti projek bernilai RM28 juta di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Buda perlu dilihat sebagai pelaburan pendidikan jangka panjang yang manfaatnya akan dinikmati oleh generasi akan datang.
“Pembangunan berkenaan bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, malah menjadi asas kepada penyediaan persekitaran pembelajaran lebih berkualiti untuk tempoh puluhan tahun,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Baharu dan Pembangunan Tambahan SK Kampung Buda, di sini pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau meminta kontraktor, perunding dan Jabatan Kerja Raya (JKR) memastikan pemantauan rapi dilaksanakan sepanjang tempoh pembinaan supaya projek berkenaan disiapkan mengikut jadual serta memenuhi standard kualiti ditetapkan.
Dato Dr Richard menambah, Kerajaan Persekutuan turut menyediakan peruntukan menerusi program Ubah Suai Naik Taraf (USNT) bagi membantu membaik pulih kemudahan sekolah yang uzur.
Menyentuh pelaksanaan penurunan kuasa bagi projek Persekutuan bernilai RM50 juta ke bawah kepada agensi pelaksana di Sarawak, termasuk JKR Sarawak, beliau mencadangkan supaya had nilai tersebut dimansuhkan atau dinaikkan.
Katanya, ia mengambil kira Sarawak mempunyai kepakaran jurutera dan perunding tempatan serta keupayaan melaksanakan projek infrastruktur berskala besar. -EDISI UKAS