SIBU: Kemuyang bakal dibangunkan sebagai bandar satelit baharu Sibu menerusi perancangan pembangunan bersepadu yang merangkumi penyediaan infrastruktur jalan raya, kawasan perumahan serta kemudahan masyarakat bagi menampung pertumbuhan bandar itu pada masa hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan Kemuyang merupakan sebahagian daripada perancangan memperluas kawasan bandar Sibu secara lebih tersusun, seiring dengan pertambahan penduduk dan keperluan pembangunan semasa.
Menurut beliau, pendekatan pembangunan bandar satelit telah dilaksanakan di Sibu Jaya yang kini berkembang sebagai kawasan penempatan dengan jumlah penduduk yang semakin meningkat.
"Jadi, pada hari ini, saya ingin berkongsi bahawa Kemuyang akan dibangunkan sebagai sebuah bandar satelit baharu yang mempunyai ruang dan potensi untuk pembangunan bandar terancang serta dihubungkan dengan Kampung Asar, Nangka dan Nyabor," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Masjid Al-Hidayah Kemuyang, di sini pada Jumaat.
Premier Sarawak menjelaskan, pembangunan Kemuyang turut mengambil kira keperluan memperkukuh jaringan perhubungan dengan kawasan penempatan sedia ada termasuk Kampung Nangka, Kampung Nyabor dan kawasan sekitarnya.
Katanya, perancangan tersebut juga melibatkan jaringan jalan raya yang akan menghubungkan Kemunyang dengan Universiti Teknologi Sarawak (UTS), sekali gus meningkatkan aksesibiliti antara kawasan pembangunan baharu dengan pusat bandar Sibu.
“Hari ini, kita merancang pembangunan sebuah lagi bandar satelit di Sibu, iaitu Kemunyang.
“Sebagai langkah awal, kita akan membangunkan prasarana dan infrastruktur yang diperlukan, termasuk jaringan jalan raya yang menghubungkan Kemunyang dengan Universiti Teknologi Sarawak (UTS).
“Ini bermakna Kemunyang mempunyai kedudukan yang strategik kerana terletak tidak jauh dari pusat bandar Sibu," jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan kawasan penempatan baharu perlu dilaksanakan secara seimbang dengan penyediaan kemudahan keagamaan dan sosial bagi mewujudkan persekitaran kehidupan masyarakat yang harmoni.
Mengambil contoh pembangunan masjid baharu di Kemuyang, beliau menjelaskan bahawa kemudahan keagamaan turut menjadi antara komponen penting dalam perancangan pembangunan kawasan berkenaan.-EDISI UKAS