Perubatan Pintar Berasaskan AI Tingkatkan Kualiti Perkidmatan Kesihatan
MIRI: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan perubatan digital berpotensi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan menerusi pengesanan penyakit lebih awal, diagnosis tepat serta rawatan bersesuaian dengan keperluan pesakit.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, perkembangan teknologi itu amat relevan bagi Sarawak, khususnya dalam menangani cabaran penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menurutnya, teknologi berkenaan turut berupaya meningkatkan pengurusan penyakit kronik dan pencegahan penyakit, selaras dengan peningkatan populasi warga emas serta keperluan memastikan masyarakat menikmati kehidupan lebih sihat dan berkualiti.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada syarahan awam oleh Profesor Dong Jingcheng dari Universiti Fudan, China, bertajuk “Precision and Digital Intelligent Medicine: A Contribution to Human Health and Longevity” di KCEC ONE, Kenyalang Smart City, di sini, pada Khamis.
Katanya, Sarawak mempunyai kelebihan strategik untuk menyokong perkembangan perubatan pintar melalui transformasi digital, infrastruktur teknologi, sumber air dan tenaga boleh diperbaharui yang dapat menyokong pembangunan pusat data serta teknologi AI.
Selain itu jelasnya, kekayaan biodiversiti Sarawak termasuk tumbuhan herba tradisional seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Pegaga dan Kacangma berpotensi diterokai melalui penyelidikan saintifik yang menggabungkan perubatan moden, bioteknologi dan kecerdasan buatan.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik kerjasama Universiti Fudan dengan rakan strategik tempatan, termasuk perancangan pembangunan Fudan University AI Experiential Center di bangunan lama Majlis Bandaraya Miri bagi memperluas penyelidikan, pertukaran kepakaran dan latihan profesional.
Katanya, pembangunan Miri juga perlu diperluaskan melangkaui sektor minyak dan gas dengan memberi tumpuan kepada pendidikan, penyelidikan perubatan, teknologi digital serta inovasi, termasuk menerusi kerjasama institusi pendidikan tinggi seperti Curtin University Malaysia.
Syarahan awam itu turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Konsul Jeneral China di Kuching, His Excellency Xing Weiping, Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang serta Pengerusi Imasa Dinasti Sdn Bhd, Ar. Teo Ah Khing.-EDISI UKAS