Kestabilan Penting Dalam Memastikan Kesinambungan Pembangunan Sarawak
SIBU: Kepentingan memelihara kestabilan Sarawak terus menjadi antara perkara yang ditekankan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam memastikan negeri ini dapat meneruskan agenda pembangunan secara berterusan.
Beliau menyentuh perkara itu ketika mengulas perkembangan semasa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Al-Hidayah di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Premier Sarawak turut menyentuh kepentingan usaha berterusan dalam menyediakan barisan kepimpinan pelapis khususnya dalam kalangan pemimpin muda.
"Usaha membangunkan kepimpinan pelapis merupakan sebahagian daripada proses yang dilaksanakan secara berterusan bagi menyediakan generasi pemimpin masa depan," katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee dicalonkan semula, beliau memaklumkan bahawa perkara berkenaan masih belum dimuktamadkan.
“Ya, kita belum sahkan lagi. Saya akan sahkan pada 25 November kelak. Untuk DUN Nangka, kemungkinan kita akan letakkan Datuk Dr Annuar,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa keputusan rasmi berhubung senarai pencalonan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi PRN Sarawak Ke-13 akan diumumkan pada 25 November ini.-EDISI UKAS