Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Subis Kini Beroperasi Sepenuh Masa
BEKENU: Penduduk di sekitar Bekenu, Niah dan Subis kini menikmati akses lebih mudah kepada perkhidmatan kebajikan menerusi operasi sepenuh masa Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Subis.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus berkata, pembukaan pejabat berkenaan membolehkan masyarakat mendapatkan perkhidmatan, mengemukakan permohonan serta mendapatkan khidmat nasihat berkaitan kebajikan tanpa perlu menunggu jadual operasi atau berurusan di Miri.
Menurutnya, sebelum ini perkhidmatan kebajikan di Daerah Subis hanya beroperasi secara satelit di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Subis selama tiga hari seminggu.
Bagaimanapun, dengan kelulusan Unit Pentadbiran, Jabatan Premier Sarawak, pejabat yang beroperasi di bangunan lama Pejabat Daerah Subis itu kini dibuka pada setiap hari bekerja sebagai pusat rujukan tetap kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Subis menerusi Program Outreach Santuni Komuniti (POSKOM) di Bekenu pada Jumaat.
Katanya, pendekatan turun padang amat penting dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kebajikan benar-benar memenuhi keperluan golongan sasar, selain membolehkan keadaan sebenar penerima bantuan dikenal pasti secara langsung.
Sehubungan itu, beliau turut menekankan kepentingan pendekatan mendekati komuniti menerusi Program Ziarah Kasih yang dilaksanakan sebelum majlis perasmian dengan menyantuni dua penerima bantuan kebajikan di Kampung Angus Ria.
Dalam perkembangan berkaitan, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Subis turut berfungsi sebagai Mini Depo penyimpanan keperluan bencana bagi mempercepatkan penyaluran bantuan kecemasan kepada penduduk yang terjejas.
Menurutnya, kemudahan berkenaan amat penting mengambil kira keadaan geografi Daerah Subis yang berisiko berdepan banjir serta keadaan cuaca tidak menentu menjelang penghujung tahun.
Penyimpanan stok bekalan kecemasan di Bekenu yang dipantau kakitangan tetap pejabat berkenaan membolehkan bantuan awal, khususnya kepada mangsa bencana yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), disalurkan dengan lebih segera.
Majlis turut menyaksikan penyerahan simbolik pelbagai bentuk bantuan kepada 11 penerima meliputi bantuan bencana kebakaran, geran pelancaran, Senior Citizen Health Benefit, Kenyalang Gold Card, bantuan alat tiruan dan sokongan, bantuan khas pesakit buah pinggang serta bantuan perubatan.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Semawi Mohamad, Ketua Bahagian Dasar, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Rohana Ali, Pegawai Daerah Subis Arshad Samsu serta Pemanca Dr Ali Mudin.- EDISI UKAS