SERIAN: Raptai majlis perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Serian berjalan lancar pada Sabtu dengan persiapan rapi oleh pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan perjalanan acara esok berlangsung dengan baik dan teratur.
Raptai melibatkan penyelarasan pergerakan acara, pengurusan pentas serta persiapan pelbagai pengisian bagi memastikan kelancaran majlis perasmian itu nanti.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua turut hadir menyaksikan sesi raptai berkenaan bagi memastikan persiapan raptai tersebut lancar.
Majlis perasmian dijadual disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang turut menyampaikan amanat berhubung pelbagai inisiatif dan hala tuju pembangunan Sarawak khasnya di Serian.
Program itu turut menampilkan pelbagai persembahan termasuk tarian dan nyanyian, selain pelancaran Coffee Table Book serta simbolik penyerahan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES). -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie