LIMBANG: Pelaksanaan projek pembangunan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) terus menjadi tumpuan bagi memperkukuh kemudahan infrastruktur serta meningkatkan kesejahteraan penduduk di Limbang.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, peruntukan RTP sebanyak RM5 juta setahun bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak 2016 telah membolehkan pelbagai projek prasarana dilaksanakan merangkumi kawasan kampung, bandar dan premis kerajaan.
“Alhamdulillah, sejak tahun 2016, apabila peruntukan RTP untuk ADUN sebanyak RM5 juta setiap tahun, kita telah berjaya melaksanakan banyak prasarana di kampung-kampung di bandar-bandar dan juga di pejabat-pejabat kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa lawatan ke tapak projek RTP dan SDO di Limbang.
Menurutnya, sebanyak empat projek dilaksanakan di bawah SDO tahun ini, termasuk kerja menaik taraf Dewan Kampung Batu Bekarang, manakala dua projek RTP melibatkan kerja menaik taraf Padang Bola Sepak Majlis Daerah Limbang (MDL) dan pembinaan tempat letak kereta Hospital Limbang.
Katanya, Dewan Kampung Batu Bekarang merupakan antara kemudahan penting bagi menyediakan ruang lebih selesa kepada penduduk untuk melaksanakan aktiviti kemasyarakatan, dengan usaha mendapatkan peruntukan tambahan akan diteruskan tahun hadapan bagi melengkapkan kemudahan berkenaan.
Bagi projek naik taraf Padang Bola Sepak MDL pula, peruntukan RTP sebanyak RM250,000 disediakan khusus untuk mengatasi masalah air bertakung ketika hujan.
Beliau berkata, beberapa lokasi turut dikenal pasti berpotensi untuk pembangunan padang bola sepak baharu, antaranya Kampung Lubuk Piasau, Kampung Lubuk Sigantang, Kampung Manggatai dan Kampung Ipai.
Menurutnya, penyediaan lebih banyak kemudahan sukan penting bagi membuka ruang kepada golongan belia menyertai aktiviti sihat, sekali gus menghindarkan mereka daripada gejala sosial dan penyalahgunaan bahan terlarang.
Dalam perkembangan berkaitan, usaha mempertingkat kemudahan kesihatan di Limbang turut diberi perhatian menerusi cadangan menaik taraf Hospital Limbang kepada hospital pakar major serta perancangan pembinaan Klinik Kesihatan Bersepadu di Bandar Baru Limbang.
Projek pembinaan tempat letak kereta Hospital Limbang pula menyediakan sebanyak 137 ruang parkir baharu bagi meningkatkan kapasiti sedia ada serta memenuhi keperluan kakitangan dan orang awam yang mendapatkan perkhidmatan di hospital berkenaan.
Turut hadir Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Pengarah Hospital Limbang Dr Nurain Yahya, Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Limbang Ayunni Tamimi, Jurutera Awam Jabatan Kerja Raya (JKR) Limbang Ir Aizatul Nabilah Suhermanto, Penolong Jurutera MDL Rajiz Norudin dan Ketua Kampung Batu Bekarang Usop Tarip.- EDISI UKAS