RM500,000 RTP Perkasa Kemudahan SK Miri Sejak 2022
MIRI: Sebanyak RM500,000 peruntukan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) telah disalurkan bagi melaksanakan pelbagai projek menaik taraf kemudahan Sekolah Kebangsaan (SK) Miri sejak 2022 hingga sekarang.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang berkata, peruntukan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan pendidikan serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif kepada warga sekolah.
"Peruntukan tambahan RM100,000 telah dirancang bagi tahun 2027 sebagai kesinambungan usaha memperkukuh kemudahan sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Murid SK Miri Tahun 2026 di sebuah pusat beli-belah, di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, sejak 2022 hingga 2026, peruntukan RTP berjumlah RM500,000 digunakan bagi menaik taraf tandas awam, menyediakan ruang menunggu berbumbung, menambah baik pendawaian elektrik, memasang enam unit penghawa dingin serta bahan kalis bunyi di bilik muzik.
Selain itu katanya, RTP turut digunakan untuk menggantikan tingkap bilik mesyuarat dan surau, mengecat semula susur tangan tangga, menaik taraf pentas sekolah, memasang Smart Board dan kipas dinding serta membaik pulih jalan masuk ke kawasan sekolah. -EDISI UKAS