RM33,600 Disalur Kepada 28 Keluarga Mangsa Kebakaran Rumah Panjang Matop
SPAOH: Nasib 28 keluarga yang terjejas dalam kebakaran Rumah Panjang Matop terus dibantu apabila sejumlah RM33,600 peruntukan menerusi sumbangan Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu dan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Bukit Saban.
Daripada jumlah itu, RM28,000 disalurkan Dato Dr. Richard Rapu, manakala SABERKAS Cawangan Bukit Saban menghulurkan RM5,600 bagi membantu meringankan beban keluarga terjejas.
Dato Dr. Richard yang juga Pengerusi SABERKAS Cawangan Bukit Saban menyampaikan sumbangan tersebut ketika menziarahi mangsa di Pondok Serbaguna Rumah Panjang Matop, pada Jumaat sebagai sokongan moral kepada penduduk yang terjejas dalam kejadian kebakaran kira-kira pukul 5 petang Sabtu lalu.
Dalam lawatan itu, beliau bersama Datin Lucy Mary Johnson turut melahirkan rasa simpati terhadap musibah yang menimpa penduduk, khususnya 28 keluarga yang kehilangan kediaman dan tempat berlindung.
Mengulas perkembangan penempatan mangsa, beliau memaklumkan beberapa keluarga kini ditempatkan di Dewan Panglima Rentap, Betong yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), sementara menunggu penyediaan penempatan sementara khas di tapak yang telah dikenal pasti berhampiran kawasan berkenaan.
Penempatan sementara itu dirancang bagi menyediakan tempat tinggal yang lebih sesuai kepada keluarga terjejas sementara menunggu proses pembinaan semula rumah panjang dilaksanakan.
Dalam pada itu, beliau turut menerima penerangan mengenai penyelarasan bantuan dan tindakan agensi kerajaan berkaitan daripada Temenggung Iban Bahagian Betong, Temenggung Richard Mulok dan Tuai Rumah Panjang Matop, Anyie Rajit.
Beliau berharap segala urusan bantuan dan kebajikan mangsa dapat diselaraskan dengan lancar bagi memastikan keperluan keluarga terjejas terus diberi perhatian sepanjang tempoh pemulihan.-EDISI UKAS