Kerjasama Kerajaan, Industri dan Komuniti Penting Dalam Memelihara Sungai
BINTULU: Kerjasama erat antara kerajaan, pihak industri dan masyarakat setempat penting bagi memastikan usaha memelihara sungai dan alam sekitar dapat dilaksanakan secara berterusan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Pelabuhan), Datuk Majang Renggi berkata, pembangunan pesat sektor industri dan pelabuhan di Bintulu perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab menjaga kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, sungai merupakan sumber kehidupan yang penting sejak dahulu lagi, bukan sahaja sebagai laluan utama dan sumber makanan, malah menjadi punca rezeki serta menyokong keseimbangan ekosistem.
“Dalam kesibukan kita mengejar kemajuan, sungai dan alam sekitar juga perlu dijaga supaya pembangunan kita seimbang dan anak cucu kita dapat menikmati hasilnya nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penangguhan Program Kesedaran Bersama Komuniti di bawah inisiatif River Recovery Sungai Plan 2026 di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Plan pada Khamis.
Menurutnya, kelestarian alam sekitar merupakan antara tiga fokus utama dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), selain kemakmuran ekonomi dan keterangkuman sosial.
Katanya, komitmen itu turut diperkukuh menerusi Sarawak Sustainability Blueprint 2030 dan Dasar Alam Sekitar Sarawak yang dilancarkan pada 5 November lepas sebagai panduan dalam menangani perubahan iklim, meningkatkan tanggungjawab bersama serta memperkukuh kesedaran masyarakat.
Datuk Majang berkata, penjagaan sungai juga perlu bermula daripada tindakan masyarakat dalam kehidupan seharian, termasuk mengamalkan penjimatan air, memastikan longkang tidak tersumbat dan mengasingkan sampah di rumah.
Beliau turut menggalakkan penduduk mengamalkan konsep 5R dengan mengurangkan penggunaan barangan tidak mesra alam, menggunakan semula barangan yang masih boleh dipakai serta mengitar semula bahan terpakai seperti kertas, plastik, kaca dan logam.
“Kalau anak-anak sudah dilatih dari kecil, mereka akan lebih menghargai alam pada masa depan,” katanya.
Menurutnya, kejayaan sebenar usaha pemuliharaan alam sekitar bukan diukur berdasarkan jumlah program yang dilaksanakan, sebaliknya sejauh mana kesedaran dan sikap masyarakat berubah untuk terus menjaga sungai.
Turut hadir, Timbalan Pengawal (Operasi) Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak, ChM. Penny Sumok, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia LNG Sdn Bhd, Abang Jimmy Abang Mordian dan Profesor Madya Universiti Putra Malaysia Sarawak, Prof. Madya Dr. Geoffery James Gerusu. - EDISI UKAS