Soul City & Hyper Freedom 2026 Gegar Kuching Waterfront 4-6 Disember Ini
KUCHING: Kuching bakal menjadi tumpuan peminat muzik serantau apabila dua acara berskala besar, Soul City – An R&B Night dan Hyper Freedom 2026 dijadualkan berlangsung di Kuching Waterfront Esplanade dari 4 hingga 6 Disember ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, penganjuran kedua-dua acara itu menawarkan pengalaman muzik berbeza menerusi gabungan persembahan muzik R&B serta festival muzik elektronik atau Electronic Dance Music (EDM).
Menurut beliau, penganjuran berkenaan bukan sahaja memberi ruang kepada peminat muzik menikmati persembahan artis tempatan dan antarabangsa, malah berpotensi memperkukuh kedudukan Kuching sebagai destinasi pelancongan berasaskan hiburan dan industri kreatif.
“Gabungan dua konsep muzik ini akan memberikan pengalaman tersendiri kepada pengunjung, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian industri muzik serta kreativiti yang mampu diketengahkan di Sarawak,” katanya dalam sidang media mengenai penganjuran acara berkenaan di Star On Stage (SOS) di sini pada Jumaat.
SOUL CITY – An R&B Night yang berlangsung pada 4 Disember bakal menampilkan penyanyi terkenal Indonesia, Cakra Khan sebagai penampilan istimewa, selain barisan artis termasuk Ruffedge, Lah Ahmad, Innuendo dan The Fabulous Cats.
Konsert itu turut menampilkan Dato’ Acis sebagai Pengarah Muzik bagi memastikan mutu persembahan dan susunan muzik berada pada tahap terbaik.
Sementara itu, HYPER FREEDOM 2026 yang berlangsung pada 5 dan 6 Disember bakal menampilkan DJ antarabangsa terkenal, Showtek sebagai tarikan utama.
Festival muzik elektronik selama dua hari itu turut menghimpunkan barisan DJ dan penerbit muzik dari Malaysia serta antarabangsa termasuk Code Black, Wildstylez, Ran-D, Garavel, Bayka, Hannah X, SUAE, Technikore, Verzan, YLII dan N52.
Turut menyertai festival berkenaan ialah +BLINK, Crossfinger, Denka, MYMAX, Muffin, MILE, Rachel B., Suicideboy dan TINO.
Tidak lupa turut serta daripada Bakat Sarawak antaranya, Intan, Veen B2B Huriden dan X06ALLONS.
Penganjuran kedua-dua acara itu dijangka menarik kehadiran peminat muzik dari seluruh Malaysia, Indonesia, Brunei serta negara serantau, sekali gus merancakkan aktiviti pelancongan dan ekonomi setempat sepanjang tempoh penganjuran.-EDISI UKAS