123 Pelajar SMK Baru Terima Pengiktirafan Bintulu Port
BINTULU: Seramai 123 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru Bintulu menerima pengiktirafan menerusi lima kategori Anugerah Tajaan Bintulu Port sempena Majlis Apresiasi Bintulu Port Murid Cemerlang SeBARU 2026 di Paragon Naim Street Mall pada Khamis.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), Anuar Ismail berkata, penganjuran majlis itu merupakan manifestasi komitmen berterusan syarikat dalam menyokong kecemerlangan pendidikan, khususnya melalui pengiktirafan terhadap pencapaian murid dalam bidang akademik, kokurikulum dan kepimpinan.
“Pengiktirafan yang diberikan pada hari ini bukan sekadar meraikan kejayaan yang telah dicapai, malah diharapkan dapat menjadi sumber inspirasi dan pembakar semangat kepada seluruh warga pelajar untuk terus berusaha, meningkatkan keyakinan diri serta mengembangkan potensi masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Pengurus Besar, Group Stakeholder Relations BPHB, Maslihah Tioh pada majlis berkenaan pada Sabtu.
Menurutnya, kerjasama antara Bintulu Port dengan SMK Baru Bintulu yang merupakan sekolah angkat syarikat itu kini memasuki tahun keempat, sekali gus mencerminkan komitmen industri dalam menyokong pembangunan pendidikan dan komuniti setempat.
Beliau berkata, pendidikan merupakan asas penting dalam membentuk generasi masa hadapan yang berilmu, berkemahiran, berdaya saing serta memiliki sahsiah terpuji.
Daripada keseluruhan penerima, seramai 50 pelajar menerima Anugerah Khas Skim Galakan Bintulu Port, seorang menerima Anugerah Khas Utama Bintulu Port 2025, manakala 13 pelajar menerima Anugerah Tokoh Kokurikulum dan Badan Beruniform.
Turut diberikan ialah Anugerah Terbaik SPM 2025 kepada 35 pelajar serta Anugerah Peperiksaan Antarabangsa Bahasa Perancis (DELF Level) kepada 24 pelajar.
Anuar turut menegaskan bahawa kecemerlangan pelajar tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya turut merangkumi pembentukan sahsiah, disiplin diri, kemahiran kepimpinan dan semangat kerjasama.
Beliau berkata, Bintulu Port akan terus menyokong inisiatif pendidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat, selain memperkukuh kerjasama dengan pihak sekolah bagi membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda mengembangkan potensi diri.
Turut hadir ialah Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu, Rubiah Taip dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Baru merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola majlis, Salmiah Mahli.-EDISI UKAS