Perkasa Majis Dan Surau Sebagai Institusi Pembangunan Ummah
MIRI: Institusi masjid dan surau di Sarawak perlu terus diperkasakan bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah berperanan sebagai institusi pembangunan modal insan, pembentukan sahsiah serta pemangkin kesejahteraan masyarakat selaras dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan), Datuk Dr. Ripin Lamat berkata, masjid perlu memainkan peranan lebih besar dalam membimbing masyarakat, menyatukan komuniti, membantu golongan asnaf serta melahirkan generasi muda yang berilmu, berintegriti dan mempunyai pegangan agama yang kukuh.
Menurut beliau, pembangunan fizikal Sarawak perlu diseimbangkan dengan pembangunan rohani kerana kemajuan sebenar turut bergantung kepada kekuatan institusi keluarga, sekolah dan masjid.
“Masjid bukan sekadar tempat untuk menunaikan ibadah, tetapi perlu menjadi institusi yang mampu membangunkan manusia, membentuk sahsiah serta menyantuni keperluan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Muktamar Pengurusan dan Pengimarahan Masjid Sarawak sempena Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak 1448H/2026M Zon Utara bertemakan ‘Ummah Maju Makmur’ di Pullman Miri Waterfront, di sini pada Jumaat.
Jelasnya, sehingga 15 November 2026, Sarawak mempunyai sebanyak 477 masjid dan 1,130 surau yang menyediakan kemudahan kepada masyarakat Islam untuk menunaikan ibadah serta melaksanakan pelbagai aktiviti keagamaan.
Bagaimanapun, katanya, kejayaan sesebuah institusi masjid tidak seharusnya dinilai berdasarkan keindahan dan kemudahan fizikal bangunan semata-mata, sebaliknya melalui keberkesanannya dalam membentuk masyarakat yang berdisiplin, berintegriti, berilmu dan saling menghormati.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak pengurusan masjid dan surau supaya lebih proaktif menarik penyertaan golongan belia menerusi pelaksanaan aktiviti sukan dan rekreasi seperti futsal, badminton, sepak takraw, karom, dart dan catur dengan kerjasama agensi kerajaan, badan berkanun, sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Beliau turut mengingatkan bahawa institusi masjid perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran semasa termasuk tekanan hidup, masalah kesihatan mental, pengaruh media sosial, penyebaran maklumat palsu, penagihan dadah, perjudian dalam talian, pinjaman digital serta keruntuhan institusi keluarga.
Katanya, cabaran tersebut memerlukan gerakan bersama seluruh masyarakat, manakala masjid mempunyai kelebihan melalui kepercayaan masyarakat, jaringan akar umbi dan kepimpinan komuniti untuk menyediakan bimbingan serta sokongan kepada golongan yang memerlukan.
Muktamar anjuran Majlis Islam Sarawak itu menjadi platform memperkukuh silaturahim dan kerjasama dengan pihak pengurusan masjid serta surau, selain mendapatkan maklum balas secara langsung berkaitan isu pengurusan, pengimarahan, pembangunan dan keperluan masyarakat Islam di peringkat setempat.
Program berkenaan turut memberi penekanan kepada peningkatan kompetensi, tadbir urus, pengurusan kewangan dan aset serta perkongsian amalan terbaik menerusi perbincangan berkaitan fatwa pengurusan masjid, ekosistem masjid pintar, ekonomi wakaf dan integriti tadbir urus.
Seramai 344 peserta terdiri daripada wakil Lembaga Amanah Khairat serta Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau dari Bahagian Miri, Bintulu dan Limbang menghadiri muktamar tersebut.
Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Muktamar, Sahibus Siyadah Datu Mual Suaud dan Timbalan Residen Bahagian Miri, Norlila Ulis.-EDISI UKAS