Pertanian Berkelompok Tingkat Produktiviti, Perkukuh Sektor Agro Sarawak
SEBAUH: Pengusaha pertanian, khususnya petani kecil di rumah panjang, digalakkan mengamalkan pendekatan pertanian secara berkelompok bagi meningkatkan produktiviti serta keberkesanan pengurusan perusahaan pertanian.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, pendekatan tersebut membolehkan pengusaha menggembleng kepakaran, tenaga kerja dan kemampuan masing-masing secara lebih tersusun, sekali gus meningkatkan hasil pengeluaran pertanian.
Menurut beliau, sistem pertanian berkelompok membolehkan pengusaha memberi tumpuan kepada bidang tertentu seperti penanaman, pengumpulan hasil dan pemasaran tanpa perlu menguruskan keseluruhan proses pertanian secara bersendirian.
“Cabaran pertanian pada masa dahulu ialah pengusaha perlu memberikan komitmen sepenuhnya daripada proses penanaman sehinggalah kepada penjualan hasil kepada pengguna. Perkara ini sudah tentu memerlukan banyak masa dan tenaga.
“Salah satu usaha kita untuk memangkin sektor agro supaya lebih efektif adalah melalui penanaman secara berkelompok,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Majlis Penangguhan Agriculture Community Outreach Programme (AGRICOP) di Rumah Tomety Belayong, Sungai Selezu Pandan, Sebauh pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) supaya memainkan peranan lebih aktif dalam menjayakan inisiatif AGRICOP, khususnya menggalakkan lebih ramai penduduk rumah panjang dan petani kecil menceburi bidang pertanian moden serta inovatif.
Menurutnya, AGRICOP turut menyediakan platform kepada peserta untuk mendapatkan khidmat kepakaran dan nasihat daripada pegawai pertanian mengenai jenis tanaman serta kaedah penanaman yang bersesuaian dengan keadaan tanah di kawasan masing-masing.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Datu Dominic Chunggat menggalakkan pengusaha tanaman dan petani mendaftarkan diri dalam sistem e-Tani bagi membolehkan jabatan berkenaan membangunkan pangkalan data pengusaha pertanian yang lebih lengkap dan teratur.
Turut hadir Pegawai Daerah Sebauh, Thaddeus Ling; Pegawai Pertanian Bahagian Bintulu, Jackson Nanta, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Colin Patan serta Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (SLDB), Profesor Dr. Harry Entebang.-EDISI UKAS