Hospital Mukah Perlu Diperkasa, Akses Rawatan Pakar Jadi Keutamaan
MUKAH: Hospital Mukah akan terus diperkasa dengan kemudahan dan perkhidmatan rawatan pakar bagi memastikan penduduk setempat mendapat akses kesihatan lebih menyeluruh tanpa terlalu bergantung kepada hospital di Sibu dan Bintulu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hanifah Hajar Taib berkata, perancangan pembangunan kesihatan di kawasan Parlimen Mukah turut merangkumi pembinaan sebuah Klinik Kesihatan baharu yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Diharapkan projek ini dapat dilaksanakan dan disiapkan dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Kita perlu melihat keperluan setiap kawasan supaya kemudahan yang dibangunkan dapat memenuhi keperluan mendesak penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran Program Santuni MADANI 2026 Kampung Penat di Dewan Serbaguna Kampung Penat, pada Jumaat.
Menurut beliau, tapak pembinaan klinik kesihatan baharu berkenaan telah dikenal pasti, manakala perincian reka bentuk, keluasan, bilik rawatan dan kelengkapan perubatan sedang diteliti berdasarkan keperluan penduduk.
Dalam pada itu, Dato Hanifah berkata kekurangan sumber manusia masih menjadi antara cabaran utama dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan, bukan sahaja di Sarawak, malah di seluruh negara.
Justeru, katanya, perancangan pembangunan kemudahan kesihatan perlu mengambil kira keperluan khusus setiap kawasan, termasuk penyediaan kemudahan dan perkhidmatan bersesuaian bagi menangani isu kesihatan seperti tuberkulosis (TB).
Mengulas Program Santuni MADANI, beliau berkata inisiatif itu merupakan pendekatan kerajaan untuk mendekati masyarakat di peringkat akar umbi, selain mengenal pasti keperluan pembangunan kampung bagi memastikan isu yang dihadapi penduduk dapat diberi perhatian.
Bagi Kampung Penat, antara keperluan yang dikenal pasti termasuk penambahbaikan dewan serbaguna, padang dan gelanggang sepak takraw bagi menyokong aktiviti kemasyarakatan serta sukan, selain keperluan sekolah yang turut diberi perhatian menerusi inisiatif Pendidikan MADANI.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Mahathar Abd Wahab dan Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan, Aziman Mahdi.-EDISI UKAS