Projek Naik Taraf Jalan Tiga Kampung Di Tarat Bernilai RM3.6 Juta
TARAT: Projek menaik taraf jalan yang menghubungkan Kampung Tarat Sibala, Kampung Tarat Melawi dan Kampung Tarat Mawang bernilai RM3.6 juta bakal meningkatkan kemudahan perhubungan serta keselesaan penduduk di kawasan berkenaan.
Projek di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) itu melibatkan kerja menaik taraf dan menurap semula jalan sedia ada sepanjang 3.2 kilometer, selain pembinaan sistem perparitan dan pembetung.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Pengerusi GKCDA, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pelaksanaan projek berkenaan merupakan antara usaha berterusan untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan DUN Tarat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penyerahan Tapak Projek GKCDA di Dewan Kampung Tarat Sibala pada Jumaat.
Menurutnya, dakwaan bahawa pembangunan tidak dilaksanakan di kawasan Tarat adalah tidak berasas kerana pelbagai usaha menaik taraf infrastruktur telah dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan penduduk.
Beliau berkata, keadaan jalan raya di kawasan berkenaan telah banyak berubah berbanding dahulu apabila kebanyakan jalan yang sebelum ini berbatu kini telah dinaik taraf dan diturap.
Katanya, usaha pembangunan infrastruktur turut melibatkan kawasan lain termasuk laluan Plaman Nyabet/Sira/Krian ke Tiang Bukap yang seterusnya menghubungkan kawasan Puncak Borneo.
Majlis turut menyaksikan penyerahan Surat Setuju Terima daripada Majlis Daerah Serian kepada kontraktor yang dilantik untuk melaksanakan projek tersebut.
Projek berkenaan mempunyai tempoh pelaksanaan selama 12 bulan bermula 20 November 2026 hingga November 2027.
Pelaksanaan projek itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk ketiga-tiga kampung, khususnya dari aspek keselamatan jalan raya, kelancaran pergerakan harian serta kemudahan akses antara kawasan kampung.
Untuk rekod, sebanyak 19 projek pembangunan dengan nilai keseluruhan RM180.9 juta telah dikenal pasti di bawah GKCDA bagi kawasan DUN Tarat.
Daripada jumlah tersebut, dua projek bernilai RM2.8 juta telah siap, manakala sembilan projek bernilai RM137.8 juta sedang dilaksanakan mengikut jadual dan tujuh projek bernilai RM24.25 juta masih dalam perancangan.
Pelaksanaan projek-projek berkenaan melibatkan kerjasama beberapa agensi pelaksana termasuk Jabatan Kerja Raya, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar, Majlis Daerah Serian, Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Land Custody and Development Authority (LCDA).-EDISI UKAS