SMK Bukit Goram Baharu Tampung 1,115 Pelajar, Atasi Kesesakan
KAPIT: Pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Goram bernilai RM96.79 juta bakal menyediakan kapasiti untuk 1,115 pelajar bagi mengurangkan tekanan kemasukan murid di sekolah menengah sedia ada di Bahagian Kapit.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pembinaan sekolah baharu itu amat diperlukan berikutan kapasiti sekolah menengah sedia ada semakin tidak mampu menampung permintaan kemasukan pelajar.
Menurutnya, sekolah berkenaan direka untuk menempatkan 1,080 pelajar aliran perdana dan 35 murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Pecah Tanah projek berkenaan di Kampung Kemarau, pada Jumaat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan penjimatan kira-kira RM40 juta daripada peruntukan projek berbanding harga tender yang ditawarkan berpotensi dimanfaatkan untuk membina kuarters guru dan asrama pelajar, tertakluk kepada kelulusan kementerian berkaitan.
Beliau turut berharap kontraktor dapat menyiapkan projek itu enam bulan lebih awal daripada tempoh ditetapkan berdasarkan rekod prestasi pelaksanaan projek terdahulu.
Projek berkenaan akan memakan tempoh pembinaan selama 182 minggu dan dijadualkan siap pada 16 Mei 2030.
Pembangunan di atas tapak seluas 7.19 hektar itu merangkumi blok pentadbiran, blok akademik dengan 36 bilik darjah, blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Menengah dengan lima bilik darjah, kantin, dewan sekolah, tandas serta kemudahan sokongan lain.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Dato Ir Ibrahim Esa menegaskan semua pihak yang terlibat perlu memastikan projek dilaksanakan mengikut jadual, spesifikasi dan standard kualiti ditetapkan.
Beliau turut mengingatkan kontraktor dan Pengarah Projek supaya menjalankan tanggungjawab secara profesional dan berintegriti, selain memantau kemajuan kerja serta mengenal pasti masalah di tapak lebih awal bagi mengelakkan kelewatan.
Pelaksanaan projek itu turut memberi penekanan kepada sasaran sifar projek sakit dan penyiapan lebih awal melalui kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Anak Unyat dan Pengarah Cawangan Kerja Pendidikan JKR Malaysia, Dato Ir Ahmad Nadzri Abdul Majid. -EDISI UKAS