Pendidikan Agama, STEM Perlu Seiring Lahir Generasi Berilmu & Berakhlak
KUCHING: Pendidikan agama dan pembentukan sahsiah perlu diperkukuh seiring dengan penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi melahirkan generasi muda Sarawak yang berilmu, berakhlak serta berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, keseimbangan antara pendidikan akademik, penghayatan agama dan penerapan nilai murni amat penting dalam membentuk generasi yang mempunyai jati diri serta mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.
Menurut beliau, pendidikan al-Quran perlu dipupuk sejak usia muda dan dijadikan amalan dalam kehidupan seharian, bukan sahaja melalui pembelajaran di sekolah, malah dengan sokongan berterusan daripada ibu bapa serta institusi keluarga.
"Usaha memperkasakan pendidikan al-Quran juga perlu memberikan penekanan terhadap aspek penghayatan dan pengamalan nilai yang terkandung di dalamnya, selain meningkatkan kemahiran membaca dalam kalangan kanak-kanak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Mahabbah Sekolah Kebangsaan (SK) Sibu Laut di Dewan Telaga Air di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Dr Abdul Rahman turut menekankan kepentingan memperluas penglibatan anak-anak Sarawak dalam bidang STEM bagi memenuhi keperluan tenaga mahir dan profesional seiring dengan perkembangan teknologi serta transformasi ekonomi negeri.
Beliau berharap lebih ramai generasi muda menceburi bidang sains, teknologi dan kejuruteraan agar dapat melahirkan tenaga pakar tempatan yang berkemahiran tinggi serta berupaya menyumbang kepada kemajuan Sarawak.
Sementara itu, penganjuran Majlis Mahabbah SK Sibu Laut turut menjadi platform memperkukuh kerjasama antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat dalam menyokong pembangunan pendidikan murid secara menyeluruh.-EDISI UKAS