Program Santai Kilauan Emas Hargai Jasa Warga Emas Di Lundu
LUNDU: Jasa dan sumbangan golongan warga emas dalam membina institusi keluarga serta memperkukuh keharmonian masyarakat terus mendapat pengiktirafan menerusi penganjuran Program Santai Kilauan Emas di Dewan Masyarakat Kampung Sekambal Melayu, di sini pada Jumaat.
Program bersempena Sambutan Hari Warga Emas Sedunia anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu itu menghimpunkan kira-kira 200 peserta termasuk warga emas daripada pelbagai kaum, antaranya Melayu, Iban dan Selako.
Ahli Jawatankuasa Pemandu Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Greater Kuching (GKCDA), Azizul Annuar Adenan berkata, penganjuran program seumpama itu merupakan manifestasi penghargaan terhadap pengorbanan, pengalaman dan sumbangan golongan warga emas dalam membentuk kesejahteraan keluarga serta pembangunan masyarakat setempat.
Menurut beliau, warga emas memainkan peranan penting sebagai sumber pengalaman, nasihat dan nilai kehidupan yang menjadi panduan kepada generasi muda dalam meneruskan kesinambungan pembangunan komuniti.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan usaha berterusan dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan golongan berkenaan sentiasa diberikan perhatian, selain menyediakan ruang untuk mereka terus aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Lundu, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu atas inisiatif dan komitmen dalam menjayakan program berkenaan.
Program tersebut turut menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di kawasan Tanjong Datu.
Suasana penuh kemesraan dan semangat kekeluargaan sepanjang program itu mencerminkan penghargaan masyarakat terhadap golongan warga emas yang terus menjadi tonggak penting dalam pembentukan komuniti harmoni dan sejahtera.-EDISI UKAS