SERIAN: Penjawat awam Sarawak terus memainkan peranan penting sebagai tulang belakang pentadbiran negeri dalam menjayakan agenda pembangunan, khususnya ketika Sarawak giat memperkukuh keupayaan teknologi dan daya saing ekonomi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, komitmen dan keupayaan penjawat awam menyesuaikan diri dengan perubahan semasa menjadi antara faktor utama yang menyokong keberkesanan pelaksanaan dasar serta inisiatif pembangunan Kerajaan Sarawak.
Sehubungan itu, beliau mahu penjawat awam terus mempertingkat kompetensi, termasuk menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI), bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam kekal cekap, responsif dan relevan dengan perkembangan ekonomi global.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai perkhidmatan awam kerana walau apa pun idea, kaedah atau konsep baharu yang diperkenalkan, pelaksanaannya akan menjadi sukar sekiranya pegawai tidak sehaluan dengan kita.
“Oleh itu, pegawai perlu meningkatkan prestasi dan menguasai teknologi baharu kerana jika kita kini menggunakan AI, pegawai juga mesti mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang tersebut,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Serian di sini pada Sabtu.
Mengiktiraf kepentingan pembangunan modal insan dalam sektor awam, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menyatakan kesediaan Kerajaan Sarawak untuk memperluas peluang latihan dan pembangunan profesional kepada penjawat awam, termasuk di institusi pendidikan terkemuka dunia.
Menurut beliau, pendedahan kepada amalan pengurusan bertaraf antarabangsa mampu memperkukuh kepakaran serta meningkatkan keupayaan penjawat awam dalam mendepani cabaran pentadbiran yang semakin kompleks.
“Sekiranya kita mahu menghantar pegawai untuk mengikuti latihan pengurusan peringkat tinggi di luar negara, saya bersedia menghantar mereka ke mana-mana institusi terkemuka dunia, sama ada Harvard, Oxford, Cambridge atau LSE,” ujar beliau lagi.
Pada masa sama tegasnya, penguasaan teknologi baharu yang disokong kepakaran pengurusan dan integriti diyakini dapat memperkukuh keupayaan penjawat awam sebagai penggerak utama agenda pembangunan jangka panjang Sarawak. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi, Ibanez Jeffery Guang & George Embie