DBNA Rakan Strategik Kerajaan Percepat Pengukuran Tanah NCR
SERIAN: Penglibatan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dalam kerja pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) membuka ruang kerjasama lebih tersusun bagi menangani kekurangan tenaga kerja dalam proses pengukuran tanah di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kesediaan DBNA menjadi rakan kerjasama Jabatan Tanah dan Survei (JTS) amat dihargai ketika negeri berdepan kekurangan juruukur bagi memenuhi keperluan pengukuran tanah yang semakin meningkat.
“Pada masa ini, kita berdepan kekurangan juruukur tanah sedangkan jumlah permohonan dan kerja-kerja pengukuran tanah semakin meningkat.
“Disebabkan itu, saya telah meminta Jabatan Tanah dan Survei menghantar pegawai ke Universiti Teknologi di Johor untuk mempelajari kaedah kerja pengukuran tanah menggunakan peralatan dan teknologi baharu,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Serian, pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau memuji inisiatif DBNA kerana memilih untuk terlibat secara langsung dalam penyelesaian isu berkenaan berbanding hanya menyuarakan rungutan tanpa mengambil tindakan.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari menegaskan pengukuran dan pendaftaran tanah secara teratur penting bagi memastikan setiap bidang tanah mempunyai pemilikan yang jelas, sekali gus mengelakkan pertikaian dalam kalangan ahli keluarga dan waris.
“NCR kita berasaskan Sistem Torrens yang memerlukan setiap tanah didaftarkan secara rasmi atas nama pemiliknya.
“Sebab itu, tanah perlu disukat dan mempunyai hak milik berdaftar bagi mengelakkan sebarang masalah pemilikan pada masa hadapan,” tegas beliau.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri-Menteri Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi, Ibanez Jeffery Guang & George Embie