Sarawak Rangka Masa Depan Ekonomi Melangkaui 2030 Hingga 2050
SERIAN: Sarawak sedang mempersiapkan asas ekonomi jangka panjang yang melangkaui tahun 2030 hingga 2050 dengan memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan, penguasaan teknologi masa hadapan serta kepelbagaian sumber tenaga bagi memastikan negeri ini terus berdaya saing di peringkat global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perubahan landskap ekonomi dunia menuntut Sarawak merancang lebih jauh ke hadapan, khususnya dalam menyediakan generasi muda dengan ilmu dan kemahiran yang relevan dengan perkembangan teknologi.
Menurut beliau, kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan robotik bakal mengubah struktur ekonomi serta keperluan tenaga kerja dunia, sekali gus membuka peluang baharu kepada Sarawak.
“Bagi Sarawak, penduduk tidak ramai. Tetapi kita mesti menyediakan ekonomi kita melangkaui 2030 sehingga 2050.
“Waktu itu saya tidak ada lagilah, 2050 mana ada lagi. Tapi anak kita mesti memainkan peranannya supaya Sarawak sama-sama dengan dunia dalam ekonomi global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Serian di sini pada Sabtu.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, perancangan ekonomi masa hadapan tidak boleh hanya bergantung kepada kekuatan sumber asli, sebaliknya perlu disokong oleh keupayaan rakyat untuk menghasilkan nilai tambah menerusi pengetahuan, inovasi dan teknologi.
Mengambil contoh minat pelaburan syarikat teknologi global SoftBank terhadap Sarawak, beliau berkata, selain bekalan tenaga dan sumber air, dasar pendidikan negeri turut menjadi antara pertimbangan utama pelabur.
“Mungkin ada dalam kalangan anak-anak kita yang menganggap cita-cita ini terlalu tinggi atau ‘too ambitious’. Tetapi, apa salahnya kita mempunyai cita-cita besar? Hari ini, Sarawak semakin mendapat perhatian dunia.
“Siapa yang tidak mengenali SoftBank dan tokoh-tokoh teknologi serta pelabur terkaya dunia? Mereka mempunyai pilihan untuk melabur di mana-mana sahaja, tetapi mereka memilih Sarawak. Bukan kita yang pergi mencari mereka, sebaliknya mereka sendiri datang ke Sarawak," katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa inisiatif pendidikan tinggi percuma Kerajaan Sarawak merupakan pelaburan strategik untuk melahirkan generasi berkemahiran tinggi yang mampu menerajui ekonomi baharu.-EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi, Ibanez Jeffery Guang & George Embie