Hormati Proses Demokrasi, Kekalkan Kestabilan Negeri
SERIAN: Keharmonian dan kestabilan Sarawak perlu terus dipelihara dengan menghormati prinsip demokrasi serta keputusan mana-mana parti politik berhubung penyertaan mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, setiap parti politik mempunyai hak untuk menentukan penyertaan masing-masing dalam proses demokrasi.
Menurut beliau, keputusan dua parti politik yang memaklumkan tidak akan bertanding pada PRN akan datang diterima dan dihormati.
“Mereka telah memaklumkan bahawa mereka tidak akan bertanding dan kita menerima keputusan itu.
“Terima kasih kerana tidak bertanding kerana itulah demokrasi tetapi jika mereka memilih untuk bertanding, kita akan berhadapan dengan mereka,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataannya dalam ucapan perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Serian di sini pada Sabtu.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan keharmonian dan kestabilan negeri serta mengingatkan pihak luar supaya menghormati landskap politik Sarawak.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa proses demokrasi memberi ruang kepada mana-mana parti untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya.
“Siapa hendak datang kita akan 'lawan' kerana anak Sarawak jangan dicuba,” ujar beliau lagi.-EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi, Ibanez Jeffery Guang & George Embie