177 Nelayan Batang Lupar Terima Bantuan Pukat Hanyut RM355,000
PUSA: Seramai 177 nelayan di kawasan Batang Lupar menerima bantuan pukat hanyut bernilai keseluruhan RM355,000 menerusi inisiatif Jabatan Pertanian Sarawak, Bahagian Betong bagi membantu memperkukuh kegiatan perikanan serta menyokong pendapatan komuniti nelayan.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, setiap penerima memperoleh bantuan input bernilai RM2,000 yang diharap dapat meningkatkan keupayaan nelayan dalam menjalankan aktiviti menangkap ikan.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Input Nelayan di Dewan Rahmaniah Pusa, pada Sabtu.
Menurut Mohamad Shafizan, bantuan berkenaan merupakan salah satu usaha membantu golongan nelayan, khususnya komuniti di Batang Lupar, menerusi penyediaan input yang diperlukan bagi menyokong aktiviti perikanan mereka.
Beliau berharap bantuan tersebut dimanfaatkan sebaik mungkin, sekali gus memberi nilai tambah kepada produktiviti nelayan dan membantu meningkatkan pendapatan serta ekonomi keluarga penerima.
Katanya, usaha menyalurkan bantuan kepada golongan nelayan akan diteruskan dan diperluas ke kawasan Batang Lupar bagi memastikan lebih ramai komuniti nelayan dapat menikmati manfaat daripada inisiatif berkenaan.
Dalam pada itu, Mohamad Shafizan turut menekankan kepentingan pembangunan infrastruktur dalam menyokong aktiviti ekonomi dan kesejahteraan masyarakat luar bandar, termasuk pembangunan Jambatan Batang Lupar yang bakal memudahkan perhubungan serta pergerakan penduduk setempat.
Menurutnya, kemudahan infrastruktur yang disediakan kerajaan perlu dimanfaatkan masyarakat bagi membuka ruang kepada peluang ekonomi yang lebih luas, termasuk sektor perikanan yang mempunyai potensi untuk terus berkembang di Pusa.
Beliau turut menghargai usaha Kerajaan Sarawak dalam menyediakan pelbagai kemudahan pembangunan untuk rakyat, khususnya penduduk luar bandar.
Turut hadir Dato Razaili Gapor, Pegawai Pertanian Bahagian Betong, Leo Toni, Pegawai Wilayah LKIM Wilayah 4, Nurhaizswati Samsimon serta wakil Pegawai Daerah Pusa, Anthony Peter Mihe Noel.-EDISI UKAS