Jaringan Jalan Raya Satukan Ekonomi Sarawak, Bukan Sekadar Pendekkan Perjalanan
SERIAN: Pembinaan rangkaian jalan raya dan jambatan di seluruh Sarawak bukan sekadar bertujuan memendekkan masa perjalanan, sebaliknya menjadi strategi menghubungkan kekuatan ekonomi setiap kawasan supaya pembangunan negeri tidak bergerak secara terasing.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pendekatan tersebut penting dalam membentuk ekonomi Sarawak yang lebih bersepadu, dengan setiap bahagian menyumbang berdasarkan kelebihan dan sumber masing-masing.
“Apakah hasil daripada pembinaan rangkaian jalan raya dan jambatan ini?
“Hasilnya ialah penyepaduan ekonomi Sarawak supaya setiap kawasan tidak terasing, sebaliknya saling berhubung dan menyumbang kepada kekuatan ekonomi negeri,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Serian, pada Sabtu.
Menyentuh mengenai pembangunan jalan raya empat lorong yang menghubungkan Serian, Munggu Kopi dan Kota Samarahan beliau memberitahu ianya akan memudahkan penduduk, khususnya pelajar, mendapatkan akses ke institusi pengajian tinggi di kawasan Kota Samarahan.
Malah jelas Premier Sarawak, jaringan jalan raya yang lebih baik turut membuka peluang kepada penduduk Balai Ringin dan kawasan sekitarnya untuk bergerak ke Samarahan dan Kuching tanpa perlu melalui laluan yang lebih jauh. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi, Ibanez Jeffery Guang & George Embie