Kerjasama Sekolah, Rakan Strategik Perkukuh Pembangunan Pendidikan Mambong
KUCHING: Kerjasama berterusan antara kepimpinan sekolah dan rakan strategik penting dalam memastikan pelaksanaan program peningkatan akademik serta pembangunan murid di kawasan Mambong dapat diperkukuh secara berterusan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil berkata, komitmen barisan guru besar bersama warga pendidik dan rakan strategik pendidikan memainkan peranan penting dalam menjayakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan mutu pendidikan serta membangunkan potensi murid.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi PGB Mambong 2026 anjuran Persatuan Guru Besar Malaysia Cawangan Mambong di sebuah hotel, di sini, pada Jumaat.
Menurut Datuk Dr Jerip, kerjasama yang terjalin selama ini turut menyokong pelaksanaan program pendidikan di kawasan Mambong, termasuk usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, persediaan akademik murid serta program kecemerlangan pendidikan melalui kerjasama dengan Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS).
Beliau turut menekankan kepentingan sokongan terhadap keperluan infrastruktur sekolah bagi memastikan murid dan warga pendidik menikmati persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, selamat serta kondusif.
Dalam pada itu, Datuk Dr Jerip berkata pembangunan pendidikan merupakan asas penting dalam mempersiapkan generasi muda Sarawak menghadapi keperluan ekonomi masa depan, termasuk bidang teknologi tinggi, aeroangkasa dan ekonomi digital.
Katanya, usaha memperkukuh pendidikan melalui kurikulum berorientasikan antarabangsa serta peluang pendidikan tinggi turut menjadi antara pendekatan dalam membangunkan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
Beliau turut melahirkan rasa bangga terhadap anak-anak tempatan yang berjaya melanjutkan pengajian serta menceburi bidang profesional seperti perubatan, kewangan, perbankan dan seni bina, sekali gus mencerminkan potensi generasi muda dalam bidang pendidikan dan kerjaya.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Guru Besar Malaysia Cawangan Mambong, Josep Henry, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Padawan, Winston Dominic Ritay, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Padawan, May Achik, Guru Besar SK Sacred Heart, Lea Bancheng, Guru Besar SK Sitang Petag, Dollah Mahaji.-EDISI UKAS