Dua Projek Infrastruktur Bernilai RM300,000 Siap, Perkukuh Kemudahan Komuniti Matu
MATU: Dua projek infrastruktur bernilai RM300,000 di Kampung Bertong dan Kampung Skaan Kecil siap dilaksanakan, sekali gus memperkukuh kemudahan asas serta menyokong keperluan komuniti setempat di Daerah Matu.
Projek berkenaan melibatkan naik taraf jalan dan parkir di Pusat Sumber Kampung Bertong serta baik pulih Bangunan Balai Raya Kampung Skaan Kecil, masing-masing dengan peruntukan RM150,000 di bawah inisiatif Kerajaan Sarawak.
Penyiapan kedua-dua projek itu disahkan menerusi majlis penyerahan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing pada Jumaat, yang disaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya serta wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah selaku agensi pelaksana.
Projek naik taraf jalan dan parkir di Pusat Sumber Kampung Bertong siap pada 2 November 2026, manakala kerja baik pulih Bangunan Balai Raya Kampung Skaan Kecil disiapkan pada 6 November 2026.
Kemudahan jalan dan parkir yang dinaik taraf di Kampung Bertong menyediakan akses lebih teratur kepada penduduk serta pengunjung Pusat Sumber, manakala balai raya yang telah dibaik pulih menawarkan ruang lebih kondusif untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan, perjumpaan dan program rasmi.
Penyerahan kemudahan kepada JKKK masing-masing turut memberi tanggungjawab kepada komuniti setempat untuk memastikan kemudahan berkenaan dimanfaatkan serta diselenggara dengan baik bagi menjamin kelangsungan penggunaannya.
Pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh penyediaan infrastruktur dan kemudahan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).-EDISI UKAS