Masyarakat Akar Umbi Rakan Penting Realisasikan Agenda Pembangunan Sarawak
MATU: Kerjasama aktif pemimpin masyarakat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penting dalam memastikan agenda pembangunan Sarawak dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada penduduk, khususnya di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, masyarakat bukan sekadar penerima pembangunan, sebaliknya perlu berperanan sebagai rakan kerajaan dalam menyokong, menyampaikan keperluan setempat dan menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan Program Ramah Mesra JKKK/NGO Daerah Matu, pada Jumaat, yang melibatkan kunjungan ke Rumah Bareng, Rumah Entoi serta beberapa kampung di Tian, iaitu Kampung Kebuaw, Kampung Masjid, Kampung Baru, Kampung Tinak, Kampung Tengah dan Kampung Padang, pada Jumaat.
Menurut Datuk Dr Juanda, penglibatan masyarakat serta kesepaduan antara pemimpin komuniti, agensi kerajaan dan penduduk merupakan antara faktor penting bagi memastikan perancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan, sekali gus menyokong peningkatan taraf hidup rakyat.
Katanya, Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) merupakan agenda bersama yang memerlukan sokongan dan komitmen semua pihak bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh, termasuk masyarakat di kawasan luar bandar.
Program berkenaan turut menjadi ruang interaksi secara langsung antara kepimpinan dengan pemimpin masyarakat serta penduduk bagi berkongsi pandangan, menyampaikan aspirasi dan memperkukuh hubungan di peringkat akar umbi.
Dalam pada itu, Datuk Dr Juanda menegaskan bahawa pelaksanaan projek pembangunan dan penyediaan kemudahan asas memerlukan kerjasama erat masyarakat setempat serta agensi berkaitan bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Beliau turut menyeru masyarakat agar terus memelihara perpaduan, keharmonian dan semangat muafakat, selain memainkan peranan aktif dalam menyokong usaha pembangunan demi kemajuan serta kesejahteraan Daerah Matu.-EDISI UKAS