18 Penduduk Memerlukan di Matu Terima Bantuan Bakul Makanan, Kerusi Roda
MATU: Seramai 18 penduduk yang memerlukan di Tian, Matu menerima bantuan menerusi Program Sentuhan Kasih anjuran Pusat Khidmat PBB Jemoreng, sebagai usaha membantu meringankan keperluan harian golongan berdepan masalah kesihatan dan pesakit terlantar.
Daripada jumlah itu, 16 penerima menerima sumbangan bakul makanan, manakala dua lagi turut dibekalkan kerusi roda bagi membantu pergerakan serta memudahkan urusan harian mereka.
Program berkenaan dilaksanakan menerusi lawatan ke kediaman penerima di Kampung Kebuaw, Kampung Masjid, Kampung Baru, Kampung Tinak, Kampung Tengah dan Kampung Padang pada Jumaat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya turut menyertai pendekatan turun padang itu bagi menyantuni penerima, selain bertanya khabar dan memahami keadaan serta keperluan mereka secara langsung.
Selain penyaluran bantuan keperluan asas, lawatan berkenaan turut membuka ruang interaksi secara langsung dengan penerima, khususnya mereka yang memerlukan perhatian berterusan akibat keadaan kesihatan dan keterbatasan pergerakan.
Program Sentuhan Kasih merupakan antara inisiatif kebajikan Pusat Khidmat PBB Jemoreng yang diteruskan sepanjang tahun bagi mendekati golongan memerlukan serta memperkukuh budaya keprihatinan dan saling membantu dalam komuniti.-EDISI UKAS