Program SKS Permudah Rakyat Selesai Urusan Dengan Agensi Kerajaan
KOTA SAMARAHAN: Penganjuran Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Samarahan 2026 pada hari bekerja memberi kelebihan kepada rakyat untuk berurusan secara langsung dengan agensi kerajaan, sekali gus mendapatkan penyelesaian segera terhadap pelbagai pertanyaan dan isu berkaitan perkhidmatan awam.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, penganjuran pada waktu pejabat membolehkan pengunjung berinteraksi terus dengan pegawai agensi berkaitan bagi mendapatkan maklumat tepat, penjelasan lanjut serta bantuan mengikut keperluan masing-masing.
“Walaupun program ini berlangsung pada hari bekerja, saya tidak melihat perbezaan ketara dari segi jumlah pengunjung.
“Malah, waktu pejabat memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat lebih tepat serta mengemukakan pertanyaan dan menyelesaikan isu yang mereka hadapi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Prapelancaran SKS Bahagian Samarahan, di sini pada Ahad.
Menurut beliau, program berkenaan setakat ini merekodkan kehadiran sekitar 5,000 hingga 6,000 pengunjung, dengan jumlah itu dijangka terus meningkat bagi mencapai sasaran keseluruhan 50,000 pengunjung.
Dalam pada itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar berkata, sambutan masyarakat turut memperlihatkan kepelbagaian keperluan perkhidmatan kerajaan mengikut peringkat umur.
Jelasnya, golongan muda lebih cenderung mendapatkan maklumat berkaitan peluang pendidikan dan pekerjaan, manakala pengunjung lebih berusia memberi tumpuan kepada perkhidmatan kebajikan dan sosial.
Katanya, kepelbagaian keperluan itu membuktikan kepentingan SKS sebagai platform yang mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, selain memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat dan bantuan secara terus tanpa perlu berurusan dengan pelbagai agensi secara berasingan.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua, Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, dan Ketua-Ketua Jabatan.-EDISI UKAS