Sarawak, Persekutuan Perlukan Formula Terbaik Tangani Pertindihan Kuasa
KUCHING: Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan perlu mencari formula terbaik bagi menyelaraskan bidang kuasa masing-masing.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, bidang kuasa terbabit termasuklah berkaitan isu maritim, supaya kepentingan negeri dan negara dapat dipelihara tanpa menjejaskan usaha mengembalikan hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut beliau, sebarang isu berkaitan bidang kuasa perlu ditangani melalui perundingan bagi memastikan hubungan antara kedua-dua pihak dapat diselaraskan dengan baik.
“Perundingan hendaklah secara harmoni tanpa kita menjejaskan kepentingan Sarawak dan juga kepentingan nasional. Jadi itulah kita nak cari formula yang terbaik.
“Sebab pada kita kalau Sarawak maju dan makmur akhirnya persekutuan juga akan mendapat kesan sebab pulangan cukai semua dikongsi bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Nang Bulan Melabur Urang Sarawak, di sini pada Ahad.
Mengulas isu sempadan maritim, Datuk Amar Fadillah berkata, Sarawak mempunyai sempadan yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan pewartaan terdahulu, manakala Kerajaan Persekutuan turut mempunyai bidang kuasa berkaitan.
“Perairan maritim Sarawak mempunyai sempadan yang ditetapkan di bawah Perlembagaan serta warta lama, manakala Kerajaan Persekutuan juga mempunyai bidang kuasanya. Namun, dalam urusan maritim antarabangsa, hanya Kerajaan Persekutuan yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.
“Jadi sebab itu kita kena lihatlah bagaimana kita dapat uruskan secara baik sebab apa pun melibatkan dunia, dunia hanya mengiktiraf sebuah negara iaitu Malaysia,” katanya lagi.
Tegas beliau, pendekatan perundingan dan penyelarasan penting bagi memastikan isu pembahagian kuasa dapat ditangani secara teratur, selaras dengan kedudukan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
Turut hadir, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif ASNB, Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee. -EDISI UKAS