KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak berhasrat meningkatkan bilangan penjawat awam yang mengikuti latihan di institusi terkemuka luar negara bagi melahirkan barisan kepimpinan pentadbiran yang berdaya saing, berpengetahuan luas dan berpandangan global.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, langkah itu merupakan kesinambungan usaha memperkukuh kompetensi penjawat awam melalui pendedahan kepada amalan terbaik serta pendekatan pengurusan di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak ketika ini menyasarkan penghantaran antara 100 hingga 200 pegawai setahun untuk mengikuti pelbagai program latihan di luar negara dengan jumlah berkenaan dijangka ditingkatkan.
“Setakat ini, kita menyasarkan antara 100 hingga 200 pegawai setiap tahun untuk mengikuti pelbagai program latihan di luar negara.
“Namun, seperti yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Premier, kita akan meningkatkan lagi penghantaran pegawai-pegawai kita untuk mengikuti program-program di luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke kaunter pameran dan perkhidmatan sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Samarahan di sini pada Ahad.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menjelaskan, antara institusi terkemuka yang menjadi pilihan ialah University of Oxford, University of Cambridge, London School of Economics (LSE) dan Henley Business School di United Kingdom, selain institusi latihan di Singapura dan Australia.
Katanya, program berkenaan memberi penekanan terhadap pembangunan kepimpinan, pengukuhan kemahiran pengurusan serta pendedahan kepada pendekatan baharu dalam pentadbiran awam.
Jelas beliau, pendedahan antarabangsa itu penting bagi membolehkan penjawat awam mengadaptasi amalan terbaik yang bersesuaian dengan keperluan pembangunan Sarawak, khususnya dalam menyokong pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Mengulas mengenai kapasiti latihan, beliau berkata, institusi seperti Oxford, Cambridge dan LSE lazimnya mengehadkan penyertaan kepada tiga hingga lima pegawai bagi setiap kumpulan.
Bagaimanapun, program latihan di Singapura dan Australia mampu menampung penyertaan lebih besar, iaitu antara 30 hingga 50 pegawai bagi setiap sesi.
Inisiatif berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam membangunkan modal insan sektor awam yang kompeten dan bersedia menghadapi cabaran pentadbiran serta perubahan landskap ekonomi global.