30 Gerai Usahawan Meriahkan Program SKS Bahagian Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 30 gerai jualan dan pameran menyertai Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Samarahan yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini hingga 23 November di Halaman Samarahan.
Penyertaan usahawan tempatan itu menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kepada pengunjung, merangkumi jualan makanan, produk makanan kering, kraftangan serta perkhidmatan urutan.
Program turut menyediakan pelbagai aktiviti interaktif dan rekreasi untuk seisi keluarga, termasuk sukan memanjat tembok anjuran Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), pertandingan mewarna kanak-kanak serta aktiviti senamrobik aerobathon.
Turut menarik perhatian ialah Pertandingan Mewarna Dewasa anjuran Kelas Pendidikan Literasi Fungsian (PLF), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang disertai seramai 30 peserta.
Selain itu, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat serta menikmati kemudahan perkhidmatan secara langsung menerusi pembukaan kaunter pelbagai agensi kerajaan dan institusi kewangan, antaranya Bank Simpanan Nasional (BSN), S PAY GLOBAL dan Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU).
Program turut menampilkan pameran Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) serta pameran pengenalan mengenai pentadbiran Bahagian Samarahan bagi meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap inisiatif kerajaan negeri dan perkhidmatan yang disediakan.
Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menyempurnakan acara prapelancaran SKS Bahagian Samarahan. -EDISI UKAS